Beberapa pemimpin masyarakat hari ini berkumpul bagi menggesa Muhammad Yusoff Rawther agar kembali ke pangkal jalan serta bersimpati gelombang solidariti umat Islam yang memperjuangkan nasib rakyat Palestin.
Ini berikutan sikap Yusoff yang gagal meminta maaf atas kenyataan terbuka beilau pada tahun 2017 yang menyokong kewujudan negara haram Israel serta menolak tuntutan negara-negara Arab ke atas Baitulmaqdis — satu pendirian yang dilihat bercanggah dengan aspirasi majoriti rakyat Malaysia dan umat Islam sejagat.
Ahli Sekretariat Nadi Gemilang Amal, Dzul Hilmi Zainol menegaskan bahawa walaupun kenyataan itu telah lama dibuat, ia masih boleh diakses dalam portal media Israel hingga ke hari ini dan menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
“Kita bukan ingin menghukum, tetapi menyeru agar beliau sedar dan bertaubat atas kenyataan yang membuka ruang kepada pengaruh asing dan menghina perjuangan rakyat Palestin,” katanya dalam satu sidang media di IPD Dang Wangi sebelum laporan polis dibuat terhadap Yusoff.
Beliau menambah, tindakan menyokong rejim yang menindas dan membunuh rakyat Palestin adalah bertentangan dengan nilai kemanusiaan dan prinsip Islam.
“Kita mengajak beliau kembali menyertai suara umat yang menolak kezaliman. Jika benar beliau berpegang kepada nilai kebenaran dan keadilan, inilah masanya untuk menyatakan solidariti bersama Palestin,” katanya lagi.
Peguam yang mewakili NGO tersebut, Asheeq Ali Sethi Alivi turut memberi nasihat terbuka kepada Yusoff agar tidak menjadi alat kepada kuasa luar.
“Kami tidak ingin bermusuh, malah kami menyeru beliau untuk berdiri atas kebenaran. Jangan biarkan diri diperalat oleh agenda luar yang selama ini menindas umat Islam,” katanya.
Sebanyak enam NGO hadir untuk membuat laporan polis, agar pihak keselamatan menyiasat keterlibatan Yusoff Rawter dengan agensi perisikan rejim Zionis iaitu MOSSAD.
Tindakan Yusoff Rawther yang enggan menafikan sokongan beliau terhadap Israel ketika umat manusia dibiarkan kebuluran di Gaza amat menimbulkan rasa muak dan bertentangan dengan norma kemanusiaan.