Ulama terkenal dari Kelantan berharap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terus kekal memimpin negara. Menurut beliau, kestabilan kerajaan penting untuk memastikan pembangunan Islam berjalan lancar dan ekonomi negara tidak terganggu.
Timbalan Pengerusi Jabhah Pondok Kelantan, Syeikh Wazir Che Awang Al-Makki berkata, sejak beberapa tahun ini kerajaan sering bertukar. Ada yang hanya bertahan setahun dua. Perubahan yang terlalu kerap membuatkan dasar kerajaan tidak konsisten dan ini memberi kesan kepada sekolah pondok serta ekonomi negara.
“Kita tukar kerajaan selalu. Dasar berubah, pondok jadi lemah, ekonomi pun merosot. Ini bukan cara Islam,” katanya semasa ceramah dalam Program Malaysia Bermunajat 2025 di Masjid Putra, Putrajaya.
Tentang program keagamaan malam itu yang dihadiri ribuan orang, Syeikh Wazir berkata jumlah kehadiran menunjukkan rakyat memberi sokongan kepada kerajaan perpaduan yang dipimpin Anwar sejak akhir 2022.
“Insya-Allah, dengan doa rakyat, cabaran negara dapat diatasi dan kerajaan Datuk Seri Anwar dapat dipertahankan,” katanya.
Mengulas perkara yang sama, mantan pengarang Harakah Tuan Tarmizi Mohd Jam menyifatkan sisi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang suka berahsia dalam melakukan kerja amal soleh sebagai sifat yang terpuji.
“Bukan sahaja PMX menyelamatkan (keluarga) Nadir al Nuri yang ramai orang tak tahu, PMX bagi sumbangan kepada Syeikh Wazir semasa di Pakistan pun tiada siapa yang tahu,” ujarnya lagi.
Syeikh Wazir sebelum itu mengingatkan kisah lama semasa beliau belajar di Pakistan selama 13 tahun, di mana Anwar pernah membantu dari segi kewangan, termasuk membantu pelajar ASEAN yang menuntut di sana.
Sementara itu pihak pembangkang yang mengumumkan satu perhimpunan besar, Himpunan Turun Anwar, yang dijangka menghimpunkan sehingga 300,000 orang, lebih besar daripada sasaran asal 50,000 namun pada hakikatnya hanya dihadiri kurang 20,000 peserta.
Sebelum ini Anwar mencabar pembangkang mengemukakan usul undi tidak percaya di Parlimen jika mereka betul-betul mahu mengambil alih kerajaan. Jika tidak berjaya, mereka perlu menunggu Pilihan Raya Umum yang seterusnya.
Pelbagai pihak kini menzahirkan sokongan kepada Perdana Menteri MADANI yang mula pentadbirannya mula menunjukkan hasil serta polisi yang menguntungkan rakyat.