Kerajaan MADANI menegaskan komitmen untuk menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar sebagai sebahagian daripada strategi nasional menghadapi cabaran perubahan iklim, keselamatan tenaga dan transformasi ekonomi. Perdana Menteri Anwar Ibrahim menekankan bahawa peralihan ini bukan sekadar perubahan teknologi, tetapi melibatkan pembentukan semula keseluruhan ekosistem pengangkutan negara yang lebih bersih, cekap dan mampan.
Komitmen ini dizahirkan melalui penerimaan penggunaan kenderaan berteknologi hidrogen dalam armada kerajaan sebagai langkah awal ke arah ujian lapangan teknologi rendah karbon. Teknologi sel bahan api hidrogen ini dilihat sebagai alternatif strategik kepada enjin pembakaran dalaman tradisional kerana ia menghasilkan pelepasan sifar karbon dioksida, sekali gus menyokong matlamat negara untuk mencapai neutraliti karbon dalam jangka panjang.
Inisiatif mobiliti hijau ini bukan bersifat simbolik semata-mata. Ia adalah langkah awal kepada transformasi sistem pengangkutan negara yang lebih menyeluruh, termasuk pembangunan infrastruktur sokongan seperti stesen pengecasan kenderaan elektrik, kemudahan hidrogen, grid tenaga pintar dan integrasi pengangkutan awam rendah karbon. Semua ini diperlukan bagi memastikan peralihan tenaga dapat dilaksanakan secara praktikal dan berskala besar.
Namun menurut Dr Cheah Chan Fattm Felo Penyelidik di Universiti Malaysia, lebih banyak insentif kerajaan diperlukan bagi memastikan teknologi mobiliti hijau diterima oleh pelbagai lapisan masyarakat.
“Penglibatan awam merupakan satu lagi aspek penting dalam strategi Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih. Menggalakkan perniagaan, isi rumah dan komuniti untuk mengamalkan amalan mampan memerlukan inisiatif pendidikan, insentif kewangan, serta kempen kesedaran yang meluas,” ujarnya lagi.
Dalam konteks serantau pula, Malaysia melihat peralihan kepada mobiliti hijau dan pintar sebagai peluang untuk memposisikan negara sebagai peneraju teknologi bersih di Asia Tenggara. Dengan permintaan kenderaan elektrik dan teknologi hijau yang semakin meningkat di peringkat global, kerajaan mensasarkan agar Malaysia bukan sekadar menjadi pengguna, tetapi turut menjadi hab pembuatan, penyelidikan dan inovasi industri mobiliti hijau.
Peralihan ini juga berkait rapat dengan agenda peralihan tenaga negara. Kerajaan menyasarkan peningkatan sumbangan tenaga boleh baharu dalam campuran tenaga nasional, sejajar dengan usaha mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil. Dalam kerangka ini, mobiliti hijau dilihat sebagai pemacu permintaan kepada tenaga bersih, sekali gus mengukuhkan keseluruhan ekosistem ekonomi rendah karbon.
Dari sudut ekonomi, kerajaan menegaskan bahawa mobiliti hijau bukan sahaja menangani isu alam sekitar, malah membuka ruang kepada pertumbuhan industri baharu bernilai tinggi. Ia merangkumi rantaian nilai pembuatan kenderaan elektrik, pengeluaran bateri, sistem tenaga, perisian pintar, serta pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan hijau dan teknologi digital.
Dalam masa yang sama, kerajaan memberi jaminan bahawa peralihan ini akan dilaksanakan secara inklusif dan berperingkat, bagi memastikan rakyat tidak dibebani dengan kos yang melampau. Dasar mobiliti hijau dirangka supaya manfaatnya dapat dinikmati secara meluas sama ada dari segi pengurangan kos bahan api, kualiti udara yang lebih bersih, mahupun peningkatan tahap keselamatan dan kecekapan sistem pengangkutan.
Secara keseluruhan, pendirian Kerajaan MADANI untuk menerajui peralihan serantau ke arah mobiliti hijau dan pintar menggambarkan hala tuju baharu pembangunan negara yang lebih berwawasan. Ia menandakan peralihan daripada ekonomi berasaskan karbon kepada ekonomi masa depan yang berteraskan kelestarian, teknologi tinggi dan daya saing global.