Pada masa kini, majoriti remaja bawah umur 16 tahun telah mendaftar dan aktif di platform media sosial memberi pelbagai kesan buruk kepada perkembangan mental dan fizikal mereka. Sebagai contoh, kajian World Health Organization (WHO) menunjukkan kadar ‘penggunaan media sosial bermasalah’ di kalangan remaja meningkat daripada 7% pada 2018 kepada 11% pada 2022.
Dengan menaikkan had umur minimum kepada 16 tahun, ia memberi ruang masa yang lebih panjang kepada kanak-kanak untuk membina kematangan emosi, literasi digital dan kesedaran terhadap implikasi dunia maya sebelum mereka bersaing secara aktif dalam ruang digital yang luas.
Terdapat bukti kukuh bahawa pengguna muda media sosial lebih terdedah kepada risiko masalah kesihatan mental seperti kemurungan, kebimbangan dan gangguan tidur. Menurut kajian oleh Pew Research Center, kira-kira satu dalam lima remaja (19 %) mengatakan media sosial telah menjejaskan kesihatan mental mereka, dan 45 % menyatakan penggunaan media sosial memberi kesan buruk terhadap jumlah tidur mereka. Tambahan pula, kajian mendapati remaja yang menggunakan skrin secara berlebihan lebih cenderung mengalami masalah emosi apabila meningkat usia. Oleh itu, menetapkan had umur minimum 16 tahun adalah wajar sebagai satu langkah pencegahan.
“Pada usia ini, kanak-kanak masih dalam proses membina identiti diri. Apabila mereka terlalu awal terdedah kepada perbandingan sosial atau komen negatif di platform digital, ia boleh menjejaskan keyakinan diri dan kestabilan emosi,” ujar Dr. Zubaidah Jamil @ Osman, Pensyarah Kanan Psikologi Klinikal di Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut beliau lagi, peranan penting ibu bapa dalam membentuk tabiat sihat bagi anak-anak. Beliau menyarankan agar ibu bapa lebih proaktif memantau aktiviti digital anak serta mengimbangi penggunaan gajet dengan aktiviti fizikal, hobi dan interaksi keluarga.
Langkah menaikkan had umur minimum bukanlah sesuatu yang ekstrem sebaliknya Australia telah memperkenalkan perundangan yang mewajibkan platform mengambil langkah untuk mengehadkan akses sosial media bagi individu di bawah 16 tahun. Begitu juga, di Norway, kerajaan merancang untuk menetapkan had umur 15 tahun sebagai minimum sebelum boleh menggunakan media sosial secara bebas.
Antara cabaran termasuk verifikasi umur sebenar pengguna, kepatuhan platform media sosial terhadap peraturan, dan memastikan hak kebebasan bersuara remaja tidak tersisih secara tidak adil. Kerajaan MADANI mencadangkan eKYC iaitu pengesahan melalui dokumen rasmi setiap kali pendaftaran agar umur pengguna benar-benar disahkan di atas umur 16 tahun.
Tindakan yang bakal menjamin kesihatan mental serta perkembangan generasi akan datang adalah penting kerana masalah yang datang bersama media sosial ini belum kita benar-benar fahami dan bersedia untuk hadapinya, aoatah lagi anak-anak yang berusia seawal 16 tahun.