April 20, 2025
Taktik ‘Gerakan Muhajirin’ ingin tukar Shah Alam jadi Shah Aley

Taktik ‘Gerakan Muhajirin’ ingin tukar Shah Alam jadi Shah Aley

Hasrat Pas untuk memerintah Selangor tidak pernah terpadam. Bahkan walau di negeri itu, posisi ketua pembangkang ketika ini digalas oleh Azmin Ali dari Bersatu, Pas tetap menyimpan hasrat untuk menjadi menteri besar.

Berbeza di negeri lain, impian Pas untuk kembali membentuk kerajaan negeri Selangor bukanlah angan-angan kerana pada 2008 dan 2013, mereka merupakan sebahagian daripadanya.

Namun Muktamar Pas di Kuala Selangor pada 2015 telah menjadi meretakkan kesatuan ketika itu di bawah Pakatan Rakyat. Akhirnya pada 2018, Pas kembali menjadi pembangkang dengan kerusi tunggal di Sijangkang.

Pilihan Raya Umum Negeri Selangor pada 2023 kembali memberi semangat kepada Pas. Daripada satu kerusi telah melonjak kepada 10 kerusi daripada 22 yang dimenangi melalui lambang Perikatan Nasional.

Ditambah pula dengan gelombang hijau yang melanda lebih awal pada PRU16 pada 2022 yang menyaksikan Pas memerintah selesa di empat negeri; Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis, mereka percaya Selangor adalah sasaran seterusnya pada PRU akan datang.

Kenyataan Pesuruhjaya Pas Selangor, Ab Halim Tamuri yang menggesa penyokong Pas untuk menukar alamat mengundi ke negeri itu menjelaskan cita-citanya.

Sebenarnya taktik menukar alamat mengundi ke negeri lain seperti disuarakan Adun Paya Jaras itu bukanlah idea baharu. Sejak sekian lama, taktik yang disebut ‘Gerakan Muhajirin’ telah diatur tetapi secara rahsia.

Taktik ini terlalu rahsia sehingga tidak pernah didokumenkan. Jika ada sekalipun, dokumen itu terlalu sulit yang tidak diketahui di mana letaknya.

Sukar dipastikan adakah Ab Halim terlepas cakap atau sememangnya Pas sudah tidak sabar-sabar lagi ingin menguasai negeri yang memiliki rizab lebih RM4 bilion sehingga terpaksa harapkan ‘sek kito‘ untuk jadi pengundi di Selangor.

Tetapi jika dilihat pada prestasi semasa Pas, tiada apa yang boleh dibanggakan oleh pengikutnya. Empat negeri yang dikuasai tidak menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Panglima perang yang disanjung tinggi, Sanusi Md Nor yang memimpin Kedah juga sudah dipertikai keupayaannya merealisasi segala janjinya.

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang diuar-uar sebagai bakal perdana menteri kesebelas juga menunjukkan prestasi corot dalam pentadbirannya di Terengganu.

Tidak perlulah ditanya pula apa pencapaian di Perlis dan Kelantan jika pembinaan terminal bas di Kota Bharu pun masih berharap kepada kerajaan persekutuan.

Di Parlimen pula, wakil-wakil rakyat daripada Pas gagal menyerlahkan keupayaannya untuk membidas dasar kerajaan dengan meyakinkan. Ahli Parlimen yang muda yang diharap dapat menangkis hujah berdasarkan fakta dan data seperti Syahir Sulaiman dari Bachok juga tenggelam.

Oleh itu, apakah yang ingin Pas suarakan sebagai kerajaan menanti di Selangor? Ditambah pula dengan siri kebiadaban pemimpin Pas terhadap institusi kesultanan Melayu, adakah mereka yakin dapat membina hubungan akrab jika ditakdirkan memerintah Selangor nanti?

Namun begitu, banyak jika boleh disenaraikan kelemahan Pas. Tetapi Pas tetap Pas. Mereka mempunyai pengikut yang mudah mengikut telunjuk berbanding gunakan akal waras.

Pengikut Pas tidak memerlukan fakta dan data. Mereka tidak pernah peduli walaupun selepas ini pemimpin mereka mengumumkan kegagalan menutup kilang arak di Shah Alam. Apa yang penting, Pas jadi kerajaan.

Gerakan Muhajirin itu jangan dipandang remeh. Dengan keupayaan Pas memobilisasi ahli dengan mencetuskan emosi atas nama bangsa dan agama, tidak mustahil Shah Alam selepas ini akan menjadi Shah Aley.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *