Kemenangan Malaysia di Mahkamah Rayuan Paris sekali lagi mengesahkan bahawa tuntutan waris Kesultanan Sulu terhadap Sabah hanyalah percubaan arbitrasi tanpa asas undang-undang. Mahkamah membatalkan sepenuhnya final award berjumlah US$14.92 bilion (sekitar RM70 bilion) yang dikeluarkan oleh arbitrator Gonzalo Stampa pada 2022, selepas mendapati proses timbang tara itu tidak mempunyai bidang kuasa sah sejak awal. Keputusan ini menamatkan risiko penyitaan aset Malaysia di beberapa negara Eropah yang pernah cuba diaktifkan oleh kumpulan tuntut.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyifatkan keputusan itu sebagai landmark victory yang menyelamatkan kedaulatan negara daripada cubaan “pemerasan rentas sempadan”. Beliau menegaskan bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dalam mempertahankan hak Sabah sebagai wilayah Malaysia yang sah sejak 1963, dan keputusan mahkamah Perancis adalah bukti kukuh bahawa tindakan arbitrator sebelum ini merupakan penyalahgunaan proses perundangan antarabangsa. Kenyataan PM ini selari dengan pendirian Jabatan Peguam Negara dan Sekretariat Khas Sulu yang menyatakan keputusan tersebut menutup keseluruhan cubaan eksploitasi sistem timbang tara.
Sementara itu Menteri Dato’ Sri Azalina Othman yang turut mengetuai Sekretariat Khas War Room Sulu menanggap kemenangan ini bukan sahaja kejayaan undang-undang, tetapi kemenangan maruah, kedaulatan dan hak seluruh rakyat Malaysia, terutamanya rakyat Sabah.
“Saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, rakan-rakan Kabinet Kerajaan MADANI, pasukan perundangan AGC, Wisma Putra, BHEUU, JPM, serta semua agensi Kerajaan yang berganding bahu dalam menjalankan amanah demi kepentingan rakyat dan negara. Ia membuktikan iltizam Kerajaan Madani mempertahankan negara dengan berprinsip dan berpaksikan undang-undang”, ujarnya lagi.
Rekod terdahulu menunjukkan perjalanan kes ini panjang dan sering dimanipulasi oleh tuntut Sulu. Pada 2019, proses arbitrasi dimulakan di Sepanyol tanpa pengetahuan Malaysia, namun Mahkamah Tinggi Madrid kemudian membatalkannya kerana tiada asas bidang kuasa. Walaupun begitu, arbitrator tetap memindahkan prosiding ke Paris dan mengeluarkan partial award pada 2020 dan final award pada 2022. Pada 2023, Mahkamah Paris terlebih dahulu membatalkan partial award, manakala keputusan 2025 kali ini memuktamadkan pembatalan keseluruhan award, termasuk arahan agar pihak penuntut membayar kos kepada Malaysia.
Implikasi kewangan keputusan ini sangat besar. Jika award US$14.92 bilion disahkan, Malaysia berdepan risiko penyitaan aset kerajaan di luar negara termasuk bangunan kedutaan, syarikat milik kerajaan dan pegangan komersial di beberapa negara Eropah. Reuters melaporkan bahawa pihak penuntut pernah cuba menyita aset Malaysia di Luxembourg dan Belanda, namun usaha tersebut digantung sementara menunggu keputusan rayuan. Dengan keputusan pembatalan ini, semua percubaan penyitaan terbatal secara automatik.
Reaksi rakyat Malaysia menunjukkan kelegaan dan sokongan kuat terhadap tindakan kerajaan mempertahankan kedaulatan negara. Media sosial dipenuhi ucapan tahniah kerana kemenangan ini bukan sekadar soal undang-undang, tetapi soal maruah dan keselamatan Sabah. Sentimen rakyat juga menunjukkan kebimbangan berasas sebelum ini bahawa pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Sulu sehingga 2013 telah dimanipulasi sebagai asas tuntutan moden untuk menuntut Sabah dan memeras wang negara dalam jumlah yang luar biasa besar.
Dari perspektif geopolitik, kemenangan ini mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam menangani pertikaian wilayah dan arbitrasi antarabangsa. Ia mengesahkan bahawa Sabah bukan subjek tuntutan antarabangsa dan bahawa sistem undang-undang global menolak percubaan memanipulasi arbitrasi komersial bagi tujuan politik. Dengan keputusan ini, Malaysia menutup satu episod litigasi paling rumit dalam sejarah moden negara dan menghantar mesej jelas bahawa sebarang cubaan menggugat kedaulatan atau aset negara akan dilawan habis-habisan menggunakan saluran undang-undang tertinggi.