Kempen pemilihan Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) 2025 semakin panas dengan tumpuan kepada jawatan Timbalan Presiden.
Dalam perkembangan terkini, nama Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar menerima sokongan parti pelbagai negeri dan peringkat dari seluruh negara.
Ketua Cabang KEADILAN Gerik, Dr Ahmad Safwan Mohamad menyatakan sokongan terhadap Nurul Izzah dengan melambangkan Puteri Reformasi itu sebagai manifestasi kepada idealisme perjuangan yang tidak pernah luntur.
“Beliau telah membuktikan bahawa prinsip boleh kekal utuh meskipun diuji oleh kekuasaan dan realiti politik.
“Dari awal usia, beliau tidak memilih jalan selamat — sebaliknya menempuh arus perjuangan dengan keberanian yang jarang dimiliki oleh pemimpin seusianya,” ujarnya melalui Facebook.
Turut menyokong pencalonan ini, Naib Ketua AMK Negeri Johor, Muhammad Faezuddin Mohd Puad yang menganggap bekas ahli Parlimen Permatang Pauh itu akan membantu memperkukuh kepimpinan parti merangkumi pengalaman politik, kelayakan dan keterangkuman gender.
“Parti memerlukan gabungan tenaga baru dan lama, idealisme anak muda dan kebijaksanaan pengalaman. Nurul Izzah membawa kombinasi ini dengan penuh wibawa,” katanya.
Terdahulu, pemilihan KEADILAN yang berlangsung di peringkat Cabang menyaksikan fenomena luar jangka yang disifatkan sebagai ‘badan tanpa kepala’ iaitu merujuk kepada kekalahan calon ketua cabang tetapi pasukannya memenangi jawatankuasa cabang tersebut.
Senarai calon ketua cabang yang kalah itu pula dikaitkan dengan kem Rafizi Ramli yang mana akan memberi kesan kepada pemilihan peringkat pusat khususnya jawatan Timbalan Presiden.
Dalam ucapan di Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Selangor pada Mac lalu, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim dilaporkan meminta agar Rafizi diberikan laluan mudah untuk menjadi Timbalan Presiden.
Berdasarkan situasi terkini, laluan yang asalnya mudah menjadi berliku kepada Rafizi untuk memastikan agar jawatan Timbalan Presiden kekal dikuasainya.
Pencalonan Nurul Izzah juga disokong Ketua Cabang KEADILAN Kota Kinabalu, KEADILAN Negeri Selangor, ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Karim.
Selain itu, turut menyokong adalah empat Cabang dari Melaka; Alor Gajah, Tangga Batu, Jasin dan Kota Melaka serta Ketua Cabang KEADILAN Tapah.
Cadangan menamakan Nurul Izzah ke posisi kedua dalam KEADILAN juga tidak mudah susulan hubungan anak beranak dengan Anwar sebagai Presiden; situasi janggal untuk sebuah parti yang menolak nepotisme dan kronisme.