Penggal kali ini boleh dianggap pencapaian terbaik yang berjaya diraih oleh PAS. Penggal kali ini menyaksikan PAS berjaya menghantar ahli Parlimen paling banyak berbanding parti lain iaitu 43 orang.
Walaupun PAS boleh berbangga dengan pencapaian ini, harus diingat bahawa kejayaan ini diperoleh kerana PAS bekerjasama dengan BERSATU dan GERAKAN melalui Perikatan Nasional.
Maknanya PAS hanya boleh merampas banyak kerusi melalui kerjasama dengan parti lain; bukannya dengan bersendirian seperti yang selalu diyakini oleh pemimpin dan ahli mereka.
Inilah juga pendapat Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang menganggap PAS sudah ‘tepu’ sebelum bersama blok politik itu.
Kejayaan yang lebih membanggakan PAS tentulah apabila berjaya menguasai 4 buah negeri dengan mengekalkan penguasaan di Kelantan dan Terengganu di samping menawan Perlis dan Kedah (sebelum itu Kedah ditawan melalui kaedah tebuk atap).
Dari pimpinan hingga pengikut terbawah. Semuanya berbangga dengan pencapaian ini.
Untuk memastikan negeri-negeri ini dapat ditadbir dengan maju dan berkesan, maka timbullah cadangan untuk membentuk satu kesatuan yang dikenali sebagai State Goverment 4 (SG4) dengan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai ketua panel penasihat.
SG4 pula akan ditadbir melalui sebuah syarikat, SG4 Group Sdn Bhd yang membolehkan hasil perolehan negeri diagih secara sama rata untuk pembangunan negeri yang masing-masing mempunyai pegangan ekuiti 25%.
Walaupun agak janggal tetapi lokasi sidang kemuncak pertama SG4 dibuat di Bangi, Selangor pada 2 September 2024.
Menurut Dr Mahathir, inisiatif ini untuk mengangkat taraf ekonomi orang Melayu. Beliau akui negeri tersebut kaya dengan sumber asli tetapi perlukan pengurusan yang cekap dan bantuan pakar-pakar berkaitan.
5 kluster dibentuk berdasarkan kelebihan negeri masing-masing iaitu infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan keselamatan makanan; pendidikan dan sumber manusia; serta hasil sumber baharu.
Inisiatif ini walaupun dilihat berkecenderungan politik tetapi masih disambut positif oleh pemimpin Kerajaan MADANI.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menganggap penubuhan SG4 sebagai satu perkembangan positif untuk teroka sumber ekonomi yang lebih menyeluruh.
Namun tidak sampai setahun dilancarkan, masalah mula timbul seperti disuarakan Ketua Pemuda Perikatan Nasional, Afnan Hamimi Taib Azamudden yang berkata SG4 perlahan disebabkan oleh kurang sokongan Putrajaya.
Bila kurang sokongan Putrajaya, maka kemasukan pelaburan juga menjadi perlahan dan rumit. Walhal, jika diteliti kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebelum ini, beliau berkata terdapat syarikat dari Korea, Jepun dan China yang berminat untuk melabur dalam SG4.
Apatah lagi dengan penglibatan Dr Mahathir yang berpengalaman sebagai perdana menteri dan mempunyai hubungan akrab dengan Jepun, sudah tentu laluan SG4 untuk menarik pelaburan dari negara Asia Timur itu lebih mudah.
Malangnya angan-angan memang indah berbanding realiti. Begitulah juga PAS bila diberikan mikrofon. Kita tentu masih ingat bagaimana Idris Ahmad yang mendakwa perlukan masa 5 hari sahaja untuk menyelesaikan masalah negara.
Sebenarnya apa yang menjadi punca SG4 terlalu lembab dan sukar menyerlah?
Menurut Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim, punca utama SG4 gagal menyerlah dari segi ekonomi dan pembangunan disebabkan oleh kelemahan urus tadbir negeri.
Malah, tambah beliau, SG4 juga gagal menangani masalah bencana alam seperti banjir yang dihadapi yang mana turut menjadi faktor tarikan kepada pelabur untuk membuat penilaian.
Sebenarnya tindakan Kementerian Kewangan yang membantu menyalurkan duit raya kepada penjawat awam Terengganu baru-baru ini pun sudah menunjukkan betapa lemahnya kepimpinan Ahmad Samsuri yang dicanang-canang sebagai bakal perdana menteri kesebelas.
Sepatutnya PAS boleh menggunakan SG4 untuk mengukuhkan pentadbiran dan menjadi kad laporan kepada rakyat bagi membuktikan keupayaan untuk mentadbir Malaysia. Sayangnya, ia telah menjadi taruhan PAS yang gagal untuk membuktikan kehebatan pemimpinnya.