April 20, 2025
Sarapan berkhasiat, murah mampu elak pelajar hadapi masalah belajar, tumbesaran tidak seimbang

Sarapan berkhasiat, murah mampu elak pelajar hadapi masalah belajar, tumbesaran tidak seimbang

Dalam sesi pembelajaran, peranan sarapan tidak boleh dipandang ringan kerana manfaatnya kepada mental dan fizikal para pelajar untuk menghadapi sesi persekolahan sepanjang hari.

Sarapan yang baik mestilah mengandungi karbohidrat, glukosa, zat besi, protein, tenaga dan mikronutrien yang penting untuk tumbesaran mereka.

Apa yang menyedihkan, sarapan juga kerap kali diabaikan kerana mengejar waktu untuk segera sampai ke sekolah sehingga menyebabkan mereka dalam keadaan lesu, lapar dan hilang fokus.

Pelajar yang meninggalkan sarapan akan mengalami masalah kerana perut yang lapar akan memberi kesan kepada fungsi kognitif walaupun pada jangka masa yang pendek. Fungsi kognitif merangkumi kecekapan memproses maklumat, memahami, menghafal.

Menurut pakar pemakanan, Aainaa Mardhiah, sarapan yang baik akan membantu membentuk sistem imun badan yang kuat, kognitif yang baik dan mengelakkan kebantutan.

Beliau mencadangkan agar satu ekosistem yang baik perlu diwujudkan untuk memastikan sarapan yang berkhasiat dapat disediakan sama ada di rumah dan kantin sekolah.

Beliau berkata, kantin sebagai tumpuan pelajar di sekolah untuk mengisi perut perlulah menyediakan makanan yang berkhasiat pada harga yang munasabah.

Langkah itu, ujarnya, boleh melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Ekonomi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan untuk memastikan objektif sarapan yang sihat serta selamat boleh dicapai.

“Sekolah juga boleh membawa masuk mesin layan diri (vending machine) Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) untuk diletakkan di kantin. Ini boleh jamin harga terkawal dan murah.

“Kerajaan juga perlu memastikan harga boleh diseragamkan dan lebih murah untuk memastikan semua murid dapat membeli makanan yang berkhasiat,” ujarnya ketika dihubungi madanikini.

Beliau turut berharap kerajaan terutama Kementerian Pendidikan dapat memastikan masalah kekurangan zat makanan dalam kalangan murid dapat ditangani sehingga menyebabkan ramai yang mendapat penyakit.

“Tak boleh anggap balik sekolah nanti, baru makan untuk ganti sarapan. Tak sama sebab kondisi badan berbeza antara pagi dengan petang. Sarapan memang penting.

“Kalau di Jepun atau Korea, ibu bapa wajib sediakan bekal makanan untuk di bawah ke sekolah. Di Jepun, mereka juga ada sediakan program makan tengahari yang dikenali sebagai kyushoku,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *