September 12, 2025
SARA RM100 bantu rancakkan ekonomi, ringankan beban rakyat

SARA RM100 bantu rancakkan ekonomi, ringankan beban rakyat

Tindakan kerajaan memberi bantuan melalui Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 akan membantu merancakkan kegiatan ekonomi dan perniagaan di samping membantu meringankan beban hidup rakyat yang miskin dan pertengahan.

Seorang usahawan digital, Azhan Samsudin berkata, pemberian RM100 tidak boleh dipandang rendah kerana kesannya akan membantu kehidupan orang ramai yang amat memerlukannya.

”Apa yang menarik, SARA disediakan untuk semua orang dewasa tanpa mengira latar belakang pendapatan. Jadi tidak pelik kalau ada pelik kenapa orang kaya pun dapat.

”Dalam hal ini, mereka boleh ambil tindakan mudah iaitu tidak belanjakan wang tersebut kerana kerajaan maklumkan wang yang tidak digunakan akan dimanfaatkan kepada program yang lain,” katanya kepada madanikini.net ketika dihubungi baru-baru ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata, golongan yang berpendapatan tinggi boleh mengambil sikap untuk bersedekah dengan menggunakan wang tersebut untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan.

Sementara itu, dalam tinjauan madanikini.net, rata-rata rakyat negara ini menyatakan kesyukuran dan keterujaan untuk memperoleh SARA seperti diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu.

Situasi ini boleh ditinjau melalui pelbagai laman sosial yang masing-masing membayangkan keringanan perbelanjaan harian setelah ditampung oleh bantuan kerajaan itu.

Seorang pengguna laman sosial Thread @afakifi berkongsi kelegaan kerana sebagai orang yang baru mendapat kerja, sumbangan wang tunai itu boleh digunakan untuk perbelanjaan dapur.

Beliau juga mengingatkan semua pihak agar tidak memperkecil nilai sumbangan itu kerana lebih ramai orang memerlukannya.

“Percayalah, ada orang yang nampak RM100 itu besar nilainya. Kalau awak tak mahu, awak bagi (bantu) orang (yang) memerlukan. Jangan sombong,” tegasnya.

Dalam pengumuman, Anwar berkata pemberian SARA akan diagihkan secara sekali beri (one-off) melalui MyKad kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas sebagai ikhtiar kerajaan meringankan beban sara hidup.

Pemberian bantuan tersebut akan boleh digunakan bermula 31 Ogos hingga 31 Disember tahun ini.

Sementara itu, seorang lagi pengguna Thread @lisaahusinn yang mempunyai pendapatan tinggi dan dikategorikan sebagai T20 juga berasa teruja apabila pertama kali mendapat bantuan daripada kerajaan.

Bersetuju dengan pendapat@akafifi, @lisaahusinn berpesan agar semua orang mengambil sikap syukur dengan apa sahaja nikmat yang diperoleh tanpa mengira besar atau kecil.

”Alhamdulillah, RM100 itu nikmat dan ujian. Ada yang bersyukur, ada juga jadi takbur sombong,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *