Pembangkang sekali lagi gagal menunjukkan kewibawaan sebagai badan ‘semak dan imbang’ apabila lebih beremosi menunjukkan penentangan terhadap RUU Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Sikap beremosi itu dipamerkan oleh ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hasan yang terpekik-pekik memainkan emosi hadirin yang berkumpul di laluan utama ke Parlimen.
Hakikatnya, sesi libat urus telah dilaksanakan sebanyak 108 kali dan melibatkan 5,000 pihak berkepentingan. Inilah yang dijelaskan oleh Ketua Pengarah Perancangan Bandar dan Desa, Datuk Alias Rameli dalam satu sidang media.
“Penangguhan (RUU PSB) bagi kita tidak wajar kerana sesi libat urus bersama tokoh-tokoh akademi, profesional, persatuan penduduk, pegawai undang-undang, due diligence telah dibuat. Jadi tidak wajar ada penangguhan,” ujarnya.
Sewajarnya setiap sesi libat urus ini diambil peluang oleh pembangkang untuk mengemukakan pandangan dan kritikan. Tetapi di samping itu, wajar jugalah kemukakan bersama langkah penyelesaian yang perlu diambil oleh pihak kerajaan.
Malah pada Mac lalu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming telah ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk menyertai lawatan tapak untuk memahami situasi sebenar yang dihadapi penduduk sehingga memerlukan RUU PSB dilaksanakan.
Peluang sudah diberi tetapi macam biasa, pembangkang tetap dengan sikap angkuh dan sombong. Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamuddin menganggap lawatan yang dianjurkan KPKT umpama lawatan pelajar sekolah.
Ini sahaja sudah membuktikan bahawa pembangkang umpama anjing yang hanya pandai menyalak di dalam sangkar. Tetapi bila sangkar dibuka, anjing yang begitu lantang tadi tidaklah segarang yang disangkakan.
Kerajaan telah memilih pendekatan inklusif dan terbuka. Semua pihak berkepentingan telah dilibatkan kerana masa depan rakyat bandar lebih penting daripada politik.
Sebaliknya, pembangkang lebih gemar memutarbelit fakta daripada menjadi pahlawan di dalam medan pertarungan sebenar. Begitulah pembangkang, kekuatan mereka hanyalah tekak yang lantang bersuara tetapi akalnya tepu daripada fakta dan kebenaran.