September 12, 2025
PMX ‘Anak Palestin’ yang tegas mengutuk kekejaman Zionis Israel

PMX ‘Anak Palestin’ yang tegas mengutuk kekejaman Zionis Israel

Kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengutuk kekejaman rejim Zionis Israel ke atas penduduk Gaza bukanlah satu aksi yang dibuat-buat.

Dalam pidatonya ketika Malam Himpunan dan Selawat: Malaysiaku Bersama Gaza yang berlangsung di Dataran Merdeka pada 24 Ogos lalu, Anwar telah mengutuk Benjamin Netanyahu sehingga memberi label ‘binatang’ terhadap Perdana Menteri Israel itu umpama binatang.

Tindakan itu memang mengejutkan untuk seorang tokoh yang dikenali sebagai moderat dan terbuka.

Dalam satu ulasan, Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menyifatkan pidato Anwar sebagai bersemangat dan berani. Di samping itu, beliau turut mengakui kelantangan Anwar mempunyai risiko yang besar bukan sahaja kepada pemimpin itu tetapi juga Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama Islam), Dr Zulkifli Hasan turut berkongsi pandangan kumpulan ilmuwan Islam dari Indonesia yang dikenali sebagai cendekiawan MALINDO MADANI apabila menyatakan kekaguman dengan keberanian dan kelantangan Perdana Menteri.

“Luar biasa hebat Perdana Menteri Malaysia,” kata mereka.

Memang resam pemimpin yang luar biasa akan turut mengundang para pembenci. Begitu juga Anwar Ibrahim.

Di sebalik kelantangannya, tetap muncul suara-suara yang menganggap bahawa beliau sekadar menggunakan isu Palestin untuk menaikkan popularitinya.

Hakikatnya, jika ditelusuri sejarah Anwar Ibrahim sejak muda, Palestin adalah salah satu medan perjuangan yang tidak pernah kunjung padam.

Seorang aktivis, Norman Daud berkongsi bahawa kemunculan Anwar di pentas antarabangsa begitu hebat sehingga kemuncaknya, pada tahun 1983, Yasser Arafat pejuang Palestin yang menjadi ikon perjuangan keadilan dunia telah mengisytiharkan Anwar sebagai “Anak Palestin”.

“Bukan calang-calang pengiktirafan. Ia membuktikan hubungan erat dan kepercayaan Palestin terhadap Anwar sebagai suara mereka di dunia Islam dan juga di Barat,” kongsinya melalui laman sosial Facebook.

Oleh kerana itulah, walaupun selepas Yaser Arafat meninggal dunia, Anwar Ibrahim masih memainkan peranan dan terus berhubung dengan para pemimpin Palestin tanpa mengira ideologi politik sama ada Hamas atau Fatah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *