Orang ramai boleh menarik nafas lega apabila Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 1998) berjaya dipinda pada 11 Februari lalu selepas diluluskan di Parlimen pada Disember 2024.
Tumpuan kepada pindaan kali ini adalah terhadap jenayah dalam talian seperti penipuan (scam), judi dan pedofilia di samping hukuman yang lebih brat jika disabitkan kesalahan.
Ruang keselamatan kepada orang ramai apabila pindaan ini berpotensi untuk menyediakan ekosistem rangkaian internet yang lebih selamat dan mampan, mampu mengelakkan salah guna rangkaian untuk tujuan jenayah komersial seperti penjualan pornografi dan pedofilia.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Komunikasi menyifatkan pindaan itu tepat pada masanya bagi membasmi kerugian yang berlaku akibat jenayah dalam talian. Dilaporkan pada 2024, jumlah kes jenayah dalam talian mencecah 35,368 kes dengan nilai kerugian melebihi RM1.5 bilion.
Namun demikian, di samping pindaan ini dilihat untuk memberi keselesaan kepada pengguna internet terutama kanak-kanak dan keluarga, terdapat persepsi yang menganggap kebebasan bersuara semakin tergugat.
Mengulas hal ini, Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin dari Fakulti Sains Kemanusiaan, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, sukar bagi mana-mana kerajaan untuk mengelakkan persepsi negatif walaupun berniat baik.
“Walau bagaimanapun, menjadi tanggungjawab menteri atau kerajaan untuk memberikan jaminan bahawa sekatan ini tidak berlaku dan ia kekal sepertimana yang termaktub dalam Perlembagaan Perkara 10, yang juga memberikan ruang untuk undang-undang digubal bagi tujuan mempertahankan keselamatan negara.
“Saya fikir, bagi rekod kerajaan perpaduan yang diterajui oleh PMX, masalah kebebasan bersuara tidak terlalu berbangkit kerana ia sudah dinyatakan secara eksplisit bahawa kerajaan memang boleh ditegur, tetapi usahlah difitnah.
“Dalam program perhimpunan PM bersama penjawat awam di Jabatan Perdana Menteri pada Januari 2023, PMX sendiri menyatakan kesediaan kerajaan dan kabinet untuk ditegur dan disemak oleh penjawat awam sekiranya terdapat sebarang salah laku,” ujarnya ketika dihubungi madanikini.
Sehubungan dengan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan meningkatkan penyebaran maklumat dan penerangan secara meluas dan tersusun agar setiap dasar yang diambil dapat difahami oleh orang ramai sekaligus menangkis sebarang salah faham.
“Inilah masanya kerajaan menggerakkan segala aparatus yang ada seperti Jabatan Peguam Negara serta para ahli akademik dan gerakan masyarakat sivil untuk berdialog dan menerangkannya kepada rakyat secara telus dan tulus. Selagi maklumat yang sebenar tidak tersebar selagi itu keresahan akan berleluasa,” katanya.
Susulan perkembangan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (AI) yang semakin meluas serta berisiko diperalat untuk melakukan penipuan dalam talian, Dr Sahul mencadangkan agar perkara ini turut diberikan perhatian oleh kerajaan.
“Banyak salah guna teknologi masa kini yang menggunakan AI seperti Deep Fake yang mencipta imej visual dan audio palsu serta pencerobohan maklumat peribadi tanpa izin untuk melakukan serangan siber (doxxing). Ini semua perlu juga diberi perhatian oleh kerajaan kerana buli siber juga adalah jenayah yang perlu ditangani,” ujarnya.