Menjelang Pilihan Raya Negeri Sabah, satu persoalan penting kembali menguasai perbincangan nasional soal penggunaan aset kerajaan dalam kempen politik seperti yang diutarakan oleh Jawatankuasa Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang diketuai oleh saudara Faisal Abdul Aziz.
“Amalan sebegini melemahkan prinsip gelanggang pilihan raya yang adil. Pemisahan urusan kerajaan dan parti perlu jelas agar pilihan raya kekal bersih dan bebas,” katanya.
Di tengah tumpuan itu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, tampil memberi jaminan terbuka di Parlimen bahawa tiada satu pun aset atau kemudahan kerajaan digunakan dalam kempen Pilihan Raya Negeri Sabah.
Namun, sejauh mana jaminan ini benar-benar diuji oleh realiti politik
Isu ini tercetus susulan persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, apabila pembangkang mempertikai kehadiran Perdana Menteri ke beberapa program politik di Sabah, serta kemungkinan penggunaan jentera kerajaan dalam kempen parti.
Menjawab persoalan itu, Anwar dengan tegas menyatakan yang semua program yang dihadirinya di Sabah adalah program parti, bukan program kerajaan.
Menurut beliau, kerajaan Persekutuan tidak terlibat dalam penganjuran mana-mana aktiviti kempen, dan agensi kerajaan juga diarahkan supaya tidak terlibat sama sekali.
Malah, Anwar turut mengakui bahawa beliau sendiri pernah membatalkan satu program di sebuah universiti, semata-mata bagi mengelakkan institusi kerajaan dilihat terlibat secara langsung dalam kempen politik, langkah yang dilihat sebagai usaha menutup semua ruang kritikan terhadap dakwaan penyalahgunaan jentera kerajaan.
Satu isu yang tidak dapat dielakkan ialah penggunaan kenderaan rasmi dan pasukan keselamatan yang turut disentuh Anwar dengan memberikan penjelasan yang jelas,
penggunaan kenderaan rasmi dan pengiring keselamatan adalah keperluan tetap jawatan Perdana Menteri, bukan kemudahan politik.
Katanya, aspek keselamatan tidak boleh ditanggalkan walaupun beliau berada di medan politik parti, dan ia adalah tertakluk kepada protokol negara. Dengan kata lain, menurut Anwar, keselamatan adalah keperluan pentadbiran — bukan instrumen kempen.
Walaupun niatnya mungkin bersih, persoalan “keadilan persaingan” tetap timbul —
kerana garis pemisah antara keperluan keselamatan dan persepsi kelebihan politik tetap tipis di mata umum.
Lebih penting, isu ini sebenarnya bukan isu baharu dalam sejarah pilihan raya Malaysia.
Sejak puluhan tahun, dakwaan penggunaan jentera kerajaan dalam kempen sering menjadi senjata politik utama dalam setiap pilihan raya.
Bezanya kali ini, jaminan tersebut: dibuat secara terbuka di Parlimen, diiringi dengan contoh pembatalan program sendiri, dan diperkukuh dengan naratif reformasi serta integriti pentadbiran. Ini menjadikan jaminan Anwar bukan sekadar kenyataan biasa,
tetapi satu komitmen yang mengikat reputasi kerajaan secara langsung.Jaminan Anwar bahawa aset kerajaan tidak digunakan dalam kempen PRN Sabah
bukan sahaja menjadi kenyataan politik, tetapi kini bertukar menjadi penanda aras integriti pentadbiran semasa.