July 27, 2025
Peranan SST dan Penyelarasan Subsidi dalam Mencapai Sasaran Defisit Fiskal 3.8%

Peranan SST dan Penyelarasan Subsidi dalam Mencapai Sasaran Defisit Fiskal 3.8%

Tidak susah untuk memahami mengapa Malaysia mahu mencapai defisit fiskal 3.8% tahun ini malah proses pemulihan ekonomi harus ditandai dengan nilai yang jelas. Defisit fiskal Malaysia mulai melonjak dari 2.01% ke 4.9% bermula zaman pandemik, kenapa perlu negara stabilkan kembali perbelanjaan fiskal ini?

Menurut penganalisis Pusat KEMUDI saudara Hazizi Padzil, defisit fiskal ini bermaksud kita telah berbelanja lebih dari pendapatan. Maksudnya, lebih tinggi perbelanjaan maka lebih teruk nilainya namun jika perbelanjaan atau hutang yang dibuat untuk mendapat pulangan lebih besar pada masa depan, ianya tidak mengapa.

Menurutnya lagi, strategi utama yang menjadi teras pencapaian
sasaran ini adalah pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diperluas serta
penyelarasan semula subsidi. Bermula 1 Julai 2025, kerajaan akan melaksanakan SST yang lebih
komprehensif, dengan kadar cukai perkhidmatan dinaikkan kepada 6% atau 8% untuk beberapa
sektor baharu seperti sewaan hartanah, perkhidmatan kewangan, dan pendidikan swasta.
Langkah ini dijangka menambah hasil kerajaan sebanyak RM5 bilion pada tahun ini, dengan
potensi mencapai RM10 billion setahun dalam jangka panjang.

Menurut Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB), perluasan SST adalah langkah
progresif untuk memastikan sistem percukaian lebih adil dan inklusif.” Dengan memasukkan
lebih banyak sektor ke dalam rangka kerja cukai, kerajaan bukan sahaja dapat mengurangkan
kebergantungan pada hasil minyak dan gas, tetapi juga memastikan pihak yang berkemampuan
menyumbang lebih kepada pembangunan negara. Namun, kerajaan tidak memandang sebelah
mata akan kesannya terhadap kos sara hidup.

Kerajaan memperkenalkan pelbagai insentif bantuan serta pelepasan cukai untuk golongan berpendapatan rendah bagi mengimbangi kesan pelaksanaan SST baharu dan penyelarasan subsidi. Gabungan dua langkah ini dijangka membantu mencapai sasaran defisit fiskal 3.8% pada 2025.

Menurut HLIB, langkah tersebut berpotensi menambah hasil kerajaan dan mengawal perbelanjaan. Dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu, dasar ini dilihat sebagai benteng kestabilan. Walaupun ada kebimbangan terhadap inflasi dan kos sara hidup, inflasi dijangka kekal sederhana hasil kawalan harga dan bantuan bersasar.

Pelaksanaan e-invois secara berperingkat juga akan meningkatkan ketelusan sistem cukai, manakala penguatkuasaan terhadap penyeludupan bahan api akan memastikan hasil cukai dimanfaatkan sepenuhnya.

HLIB menjangka hasil kerajaan akan meningkat 4.7% pada 2025, disokong oleh pengukuhan ringgit. Pelaksanaan SST dan rasionalisasi subsidi dianggap langkah serius ke arah pembaharuan fiskal jangka panjang bagi memperkukuh ekonomi negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *