April 21, 2025
Penyakit ‘alergi Gaza’ cubaan tenggelamkan usaha kerajaan bantu pembangunan semula Palestin, kata pemimpin muda PKR

Penyakit ‘alergi Gaza’ cubaan tenggelamkan usaha kerajaan bantu pembangunan semula Palestin, kata pemimpin muda PKR

Belum reda polemik berhubung tekad Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membantu kepada pembangunan semula Palestin, dua pemimpin penting dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) tampil mempertahan komitmen tersebut.

Dalam satu wawancara, Timbalan Ketua Pemuda PKR, Muhammad Kamil Abdul Munim menegaskan bahawa usaha Malaysia itu tidak langsung bermaksud untuk mengabaikan pembangunan negara seperti dipertikai segelintir pihak.

Beliau berkata, kerajaan mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan pembangunan semula di Palestin dengan kerjasama pelbagai negara.

Beliau menganggap tuduhan yang dimainkan kononnya kerajaan lebih mengutamakan persoalan di Palestin sebagai penyakit ‘alergi Gaza’.

“Ini terjadi akibat sikap beberapa pihak yang cuba mengenepikan fakta semasa dan dalam masa yang sama menenggelamkan segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan, serta gagal menghayati nilai ihsan dan kemanusiaan,” katanya yang juga setiausaha politik menteri kewangan.

Terdahulu, bekas menteri, Tan Sri Rafidah Aziz berkongsi pandangan bahawa Malaysia sewajarnya mengutamakan isu-isu dalam negara sebelum menyumbang kepada pembangunan semula Gaza.

Beliau menyenaraikan infrastruktur awam yang menyedihkan seperti sekolah, hospital dan rumah ibadah luar bandar yang memerlukan perhatian kerajaan.

Beliau turut memetik masalah berhubung golongan pesar yang menerima pencen bulan tetapi berada di bawah paras kemiskinan.

Sementara itu, ahli Parlimen Bayan Lepas, Sim Tze Tzin pula berkata, sikap peduli yang diambil oleh Malaysia bukanlah perkara baharu. Sebaliknya telah terlibat termasuk di Bosnia Herzegovina, Timor Leste, Acheh di samping membina hospital untuk pelarian di Cox Bazar Bangladesh.

“Malaysia sentiasa menjadi sebahagian komuniti kemanusiaan antarabangsa. Saling bantu-membantu. Bila kita dalam kesusahan, negara lain pun tampil membantu,” ujarnya.

Beliau menyenaraikan bantuan asing yang pernah diperoleh seperti Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA), Bank Dunia dan projek infrastruktur daripada Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dari China.

Hasil sumbangan itu, Malaysia semakin berkembang pesat dan akan mencapai taraf sebagai negara berpendapatan tinggi.

Beliau berkata, tindakan Malaysia untuk pembangunan semula di Palestin turut dilakukan oleh negara lain seperti China, Jepun, Eropah dan negara Arab.

“Keputusan ini betul untuk Malaysia menunjukkan daya kepimpinan sekaligus menaikkan taraf negara di pentas dunia,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan semula itu wajar disokong kerana manfaat jangka masa panjang yang mana kestabilan serta keamanan yang dicapai akan memastikan harga minyak dan laluan perdagangan tidak terancam.

“Ketika kuasa dunia seperti Amerika Syarikat berundur daripada bertanggungjawab, Anwar telah menunjukkan daya kepimpinan yang nadir dengan penglibatan Malaysia di peringkat antarabangsa. Ini yang dunia perlukan,” katanya.

Dalam satu kenyataan Kementerian Luar, Malaysia akan bekerjasama dengan Jepun di bawah Persidangan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi pembangunan semula wilayah itu.

Di bawah naungan Perdana Menteri, Malaysia turut melancarkan projek Bandar Wakaf Malaysia di Gaza yang meliputi kawasan seluas 35.2 hektar dengan anggara RM120 juta dan melibatkan penyertaan pelbagai peringkat pihak dalam negara.

Antara pembangunan yang dirancang:

  • 14 blok apartment mewakili semua negeri dalam Malaysia
  • Masjid berkembar dengan Masjid Shah Alam
  • Sebuah sekolah Malaysia
  • Taman Rekreasi
  • 56 unit premis perniagaan di bawah program mikro-kredit Khardul Hasan
  • Sebuah klinik kesihatan
  • Menara tangki air

Senarai penyumbang:

  • Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah (baginda bertitah dan lancarkan Tabung Pembangunan Insah Selangor-Gaza)
  • Kerajaan Negeri Selangor
  • Kerajaan Negeri Sembilan
  • Kerajaan Negeri Terengganu
  • Kerajaan Negeri Kelantan
  • Kerajaan Negeri Melaka
  • Kerajaan Negeri Pulau Pinang
  • Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
  • Yayasan Wakaf Malaysia (YWM)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *