Peluasan sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal berkuat kuasa pada 1 Julai hadapan merupakan langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal negara tanpa menekan golongan berpendapatan rendah.
Ahli perniagaan, Muhammad Alias berkata, langkah yang diambil kerajaan ini penting untuk mengurangkan defisit belanjawan serta mengelakkan ketirisan subsidi kepada warga asing.
”Langkah ini dilihat sebagai kompromi antara keperluan fiskal negara dan kebajikan rakyat,” ujarnya ketika dihubungi madanikini baru-baru ini.
Terdahulu, Kementerian Kewangan mengeluarkan kenyataan dan senarai melalui dokumen Semakan Kadar Cukai Jualan dan Peluasan Skop Cukai Perkhidmatan.
Menurut senarai, Cukai Jualan kekal sifar merangkumi barangan asas harian seperti ayam, daging lembu, buah tempatan, baja, racun dan bahan binaan utama.
Sebaliknya, barangan pilihan seperti makanan laut premium (contoh: salmon dan kod), buah-buahan import dan jentera industri pula akan dinaikkan kepada 5%.
Kenaikan cukai turut dikenakan ke atas barang mewah seperti basikal lumba dan lukisan antik sehingga 10%.
Bagi Cukai Perkhidmatan pula, segmen ini akan diperluas kepada enam sektor baharu melibatkan sewaan, pembinaan, kewangan, kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.
Akan tetapi, pengecualian akan diberikan kepada kediaman, kontraktor kecil, serta penyedia perkhidmatan kepada PMKS.
Manakala bagi sektor kesihatan dan pendidikan, hanya warga asing dan institusi elit yang terlibat.
Secara umumnya, pelaksanaan bersasar ini bukan sahaja dijangka tidak menjejaskan inflasi dengan ketara, malah mampu menjana hasil tambahan kerajaan di samping memastikan kos sara hidup rakyat kekal stabil.
Najib bin Rahman, pengurus jualan serantau berkata, cukai terhadap barangan dan perkhidmatan premium seperti king crab dan pendidikan swasta yang mencecah RM60,000 setahun adalah adil dan tidak menyentuh keperluan harian B40 dan M40.
”Langkah (kerajaan) mengenakan cukai kepada rawatan swasta kepada bukan warganegara juga akan membantu kerajaan meraih pulangan daripada sektor pelancongan perubatan yang telah lama dibangunkan,” katanya.
Tidak dinafikan pengumuman berkaitan cukai akan mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat berhubung risiko kenaikan harga barang.
Akan tetapi, Muhammad Alias beranggapan isu tersebut telah ditangani dengan baik oleh pihak kerajaan.
Menurut beliau, tidak dinafikan akan berlaku kenaikan kos tetapi impaknya adalah kecil dan tidak membebankan kerana melibatkan barangan bukan keperluan utama.
Beliau menegaskan bahawa SST ini lebih bersifat penyusunan semula dan bukan penambahan beban.
Mengulas lanjut, Najib pula melihat isu kenaikan harga akan lebih dipengaruhi oleh sikap peniaga.
Beliau berkata walaupun SST dinaikkan dengan alasan dan barangan jelas seperti disenaraikan tetapi pihak peniaga lebih gemar menaikkan harga tanpa justifikasi sewajarnya.
”Tetapi bila ada harga barang tertentu turun, mereka tidak pula menurunkan harga. Ini menunjukkan keperluan penguatkuasaan lebih ketat oleh KPDN.
”Libat urus kerajaan dengan industri dan ejen percukaian sebelum pelaksanaan turut menjadi faktor penting. Pandangan dan cadangan pemain industri perlu diambil kira dalam reka bentuk akhir SST.
”Ini akan menjadikannya lebih pragmatik dan boleh dilaksanakan secara lancar tanpa gangguan besar kepada sektor ekonomi,” ujarnya.
Peranan pihak kerajaan amat diharapkan untuk menjamin pemantauan bersama oleh antara Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk memastikan tiada pencatutan berlaku.
Pendidikan kepada pengguna dan pemilik perniagaan juga perlu dilaksanakan agar tidak berlaku kekeliruan sekaligus menunjukkan keazaman kerajaan mengelakkan manipulasi harga atas nama SST.
Peluasan SST pada 2025 adalah satu reformasi fiskal yang berhati-hati dan bertanggungjawab.
Pelaksanaannya bukan sahaja membantu negara mendapatkan ruang fiskal yang diperlukan untuk tahun-tahun mendatang tetapi juga membuktikan keupayaan kerajaan menyeimbangkan keperluan hasil negara dengan kepentingan rakyat.