April 21, 2025
Peluang Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN dan Cabaran Diplomatik Malaysia pada 2025

Peluang Anwar Ibrahim sebagai Pengerusi ASEAN dan Cabaran Diplomatik Malaysia pada 2025

Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini. Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Malaysia berhadapan peluang dan cabaran untuk memastikan tanggungjawab besar ini dapati digalas dengan sempurna di tengah-tengah kemelut geopolitik dan ekonomi.

Profesor Pengajian ASEAN, Phar Kim Beng dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkongsi pandangan tentang Kepengerusian ASEAN yang digalas Malaysia serta cabaran dan peluang yang terbentang untuk dimanfaatkan.

Meletakkan Anwar sebagai watak penting, Kim Beng menganggap Anwar bukan sahaja bertanggungjawab untuk meneruskan legasi ASEAN, tetapi juga harus menyuntik dinamisme dalam pertubuhan itu sesuai dengan cabaran semasa.

1. Memantapkan kesalinghubungan (connectivity) serantau: ASEAN perlu memperkukuh kerjasama antara negara-negara anggota dan menjalin hubungan dengan negara luar. Anwar berpeluang untuk meningkatkan kesalinghubungan digital dan mobiliti pekerja dalam komuniti ekonomi yang semakin berkembang. Kemudahan digital ini mestilah murah, mampan dan stabil. Di samping itu, kemajuan digital ini mesti seiring dengan Kepintaran Buatan (AI), Automasi, Augmented Reality, Algorithm yang berguna kepada ekonomi dunia. Kemudahan digital ini akan memberi manfaat kepada penduduk rantau ini yang dianggarkan berjumlah 1 bilion menjelang 2035.

2. Memimpin Diplomasi Global:Sebagai tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan East Asia Summit, Anwar berpeluang untuk memanfaatkan penganjuran ini dengan menggalakkan kerjasama serantau yang lebih kukuh dan menyeluruh terutamanya dengan kuasa besar seperti China, Jepun, dan Korea Selatan. Peranan Malaysia dalam ASEAN Plus 3 dan ASEAN-GCC Plus China akan memperkukuh hubungan ekonomi dan strategik di peringkat serantau dan dunia.

3. Menangani Krisis Myanmar: Anwar perlu mengekalkan kredibiliti ASEAN dalam menangani isu-isu kemanusiaan terutamanya berkenaan Myanmar. Ini akan menjadi ujian besar dalam memastikan ASEAN bergerak maju dengan langkah yang membina tanpa meninggalkan asas piagam pertubuhan yang berteraskan kepentingan rakyat jelata. ASEAN perlu memperkukuh platformnya sebagai penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi serantau tanpa meminggirkan soal keselamatan dan kebajikan manusia untuk mengelakkan tragedi kemanusiaan seperti di Myanmar berulang.

4. Memperkukuh Kerjasama Ekonomi Global: Dengan mengembangkan hubungan ASEAN dengan rakan dialog seperti Chile, Perancis, dan negara-negara dalam CPTPP, Anwar boleh memperkenalkan idea baharu dalam memperkasa ekonomi serantau dan dunia. Dalam hal ini, Malaysia dapat memainkan peranan utama dalam membantu ASEAN memperoleh kedudukan yang lebih strategik dalam lanskap ekonomi dunia.

5. Menghadapi Ketegangan AS-China: Salah satu peluang besar adalah membantu dengan menganjurkan dialog antara Amerika Syarikat dan China. Hal ini penting dalam meredakan ketegangan antara dua kuasa besar tersebut terutama dalam sektor seperti tenaga, semikonduktor, dan perubahan iklim.

6. Meningkatkan Kewibawaan ASEAN: Anwar perlu mewujudkan ASEAN yang lebih tegas dan relevan dalam menyelesaikan isu-isu global. Kepimpinan beliau, dengan sokongan daripada semua negara anggota, akan memastikan ASEAN terus menjadi pendorong utama dalam kerjasama serantau dan global, serta memberikan respons kolektif terhadap cabaran global.

Kesimpulannya, tahun 2025 adalah peluang yang amat besar bagi Anwar Ibrahim dan Malaysia untuk memimpin ASEAN dalam menghadapi pelbagai cabaran serantau dan global. Keupayaan Anwar untuk mengadaptasi dan membawa perubahan akan menentukan sejauh mana Malaysia dapat memanfaatkan kerusi Pengerusi ASEAN untuk mewujudkan masa depan yang lebih stabil, progresif dan inklusif.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *