September 12, 2025

Kejayaan Op Pancing MCMC-PDRM legakan orang ramai, harap tindakan lebih luas

Susulan Op Pancing hasil kerjasama strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), orang ramai menyuarakan sokongan dan kelegaan atas hasil kejayaan tersebut.

Berdasarkan tinjauan pantas dan rawak madanikini.net di laman-laman media sosial, kejayaan Op Pancing disambut positif malah mengharapkan lebih banyak serbuan serta tangkapan boleh dilakukan selepas ini.

Terdahulu, satu sindiket penyebaran SMS palsu menggunakan peralatan telekomunikasi haram yang dikenali Fake Base Transceiver Station (Fake BTS) berjaya ditumpaskan.

Kejayaan dalam operasi bersepadu iaitu Op Pancing merupakan hasil kerjasama strategik melibatkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Berdasarkan aduan awam dan risikan, seorang individu telah ditahan semasa mengendalikan peralatan Fake BTS dalam sebuah kenderaan berhampiran pusat membeli belah utama di Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan menemukan kelengkapan komunikasi yang berfungsi sebagai Fake BTS dalam keadaan aktif.

“Ujian frekuensi mengesahkan peralatan tersebut bukan sahaja menghantar SMS mengandungi kandungan palsu, pautan phishing, tetapi juga berunsur perjudian kepada orang awam di sekitar kawasan tersebut,” demikian menurut kenyataan media MCMC.

Penahanan individu itu turut membawa kepada serbuan di sebuah premis kediaman teres di Kota Kemuning Shah Alam yang menjadi tempat penyimpanan kenderaan dan kelengkapan berkaitan Fake BTS.

Siasatan awal yang dibuat juga berjaya mengenal pasti modus operandi terbaharu sindiket yang mana kelengkapan komunikasi Fake BTS diubah suai bagi tujuan pengoperasian secara mudah alih.

Sebanyak 45 barangan yang dianggarkan bernilai RM100,000 telah disita manakala seorang individu turut dirakam keterangan untuk membantu siasatan.

Menurut kenyataan MCMC, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 239(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan Peraturan 34(5)(c) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Spektrum) 2000.

Jika sabit kesalahan, masing-masing peruntukan itu akan membawa hukuman denda maksimum RM1,000,000 atau penjara maksimum 10 tahun dan RM300,000 atau penjara maksimum tiga tahun.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *