Kesungguhan Malaysia untuk menempa nama sebagai negara penting dalam teknologi terkini terserlah dengan penyertaan di Kongres Dunia Mudah Alih (Mobile World Congress, MW) 2025 yang berlangsung di Barcelona.
Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Malaysia, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa menyifatkan penyertaan Malaysia dengan membuka Pavilion Malaysia pada MWC menunjukkan komitmen untuk menjadi laluan utama inovasi ASEAN pada masa hadapan.
Beliau berkata, penyertaaan kali ini juga menunjukkan hasrat Malaysia untuk menjadi juara dalam transformasi inovasi dan teknologi.
“Ia menunjukkan peranan Malaysia sebagai jambatan yang menghubungkan inovasi seluruh dunia di mana idea, teknologi dan perkongsian lebih terarah untuk membentuk masa depan,” ujarnya.
MWC 2025 merupakan pameran teknologi mudah alih terbesar di dunia yang menghimpunkan para pemimpin industri, pembuat dasar dan inovasi. Pada penganjuran ini, pelbagai peluang pelaburan dan perbincangan dibuka untuk memastikan keterhubungan digital dan kepesatan teknologi dapat terus dilaksanakan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ekosistem infrastruktur digital di Malaysia bukan sahaja memberi manfaat kepada negara tetapi juga jiran serantau di Asia Tenggara merangkumi sektor penjagaan kesihatan, pendidikan, pengangkutan dan bandar pintar.
“Kita berusaha meningkatkan kualiti hidup dan menambah nilai pada pengalaman setiap pengguna,” katanya.
Malaysia juga telah melakukan banyak inovasi teknologi dan transformasi digital yang mana akan menjadi tarikan semasa penganjuran MWC.
Sementara itu, pakar teknologi maklumat (IT), Juwaini Abdul Rahman yang terlibat sebagai konsultan pelbagai syarikat dan agensi berkata, langkah Malaysia perlu disambut secara positif dan bersepadu kerana manfaatnya yang besar kepada negara dan penduduk.
“Putrajaya menunjukkan komitmen yang tinggi dan jelas apabila menyertai MWC tahun ini dengan membuka pavilion. Ini peluang Malaysia untuk mendedahkan kepada pelbagai pemain industri dunia tentang pencapaian semasa dan perancangan akan datang dalam bidang teknologi dan digital.
“Manfaatnya bukan sahaja Malaysia akan menerima pelaburan-pelaburan dalam bidang penting dan kritikal, ia juga akan menunjukkan keyakinan negara di peringkat antarabangsa untuk membentuk kerjasama strategik di peringkat global,” ujarnya kepada madanikini baru-baru ini.
Antara pencapaian utama Malaysia adalah Jaringan Digital Negara (JENDELA) yang melepasi sasaran dengan 9.03 juta premis telah menikmati internet berkelajuan tinggi.
Liputan 5G juga telah mencapai 82.4% di kawasan berpenduduk dengan kadar penembusan 56.18%.
“Pencapaian ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain digital utama di rantau ASEAN,” menurut satu laporan.
Selain itu, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) telah dibuka sebanyak 1,099 buah dengan tujuan untuk memperkasa komuniti.
Malaysia juga menjadi negara pertama di dunia yang membolehkan syarikat telekomunikasi bekerjasama untuk melaksanakan 6 Hala Jaringan Teras Pelbagai Pelaksana (6-way MOCN). Inisiatif ini melibatkan syarikat telekomunikasi seperti Celcom, DIGI, U Mobile, Maxis, TM dan YTL Communications.
Kepentingan kerjasama ini membolehkan lebih banyak kawasan seluruh negara termasuk di luar bandar mendapat akses internet yang berkualiti.
Inisiatif MCMC Nexus juga membolehkan maklumat yang lebih terperinci mengenai akses internet seluruh negara disediakan untuk ditambah baik dari semasa ke semasa.
Manfaat inovasi 5G dan Kecerdasan Buatan (AI) turut terserlah dalam pelbagai sektor merangkumi perubatan, pendidikan, pertanian dan pembuatan pintar.
Penyiaran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 juga telah ditingkatkan dengan penyiaran 5G-Advanced.
Pencapaian teknologi ini telah meningkatkan taraf hidup, memandu pertumbuhan ekonomi dan mencipta lebih banyak peluang kepada Malaysia dan rantau Asia Tenggara.