January 29, 2026
MPPN Sokong Larangan Pembelian RON95 Oleh Kenderaan Asing

MPPN Sokong Larangan Pembelian RON95 Oleh Kenderaan Asing

KUALA LUMPUR – Majlis Penasihat Pengguna Negara (MPPN) menyokong penuh usaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk memperkukuh larangan pembelian petrol RON95 oleh kenderaan berpendaftaran asing di stesen minyak seluruh negara.

Menurut MPPN, langkah ini penting bagi memastikan subsidi petrol RON95 yang disediakan Kerajaan benar-benar dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia serta selari dengan prinsip keadilan sosial dan perlindungan pengguna.

MPPN mengambil maklum penjelasan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali, bahawa peruntukan sedia ada melalui Peraturan 12A hanya membolehkan tindakan diambil terhadap pihak penjual. Justeru, cadangan pengenalan peruntukan baharu di bawah Seksyen 6 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang meliputi larangan terhadap penjualan dan pembelian disifatkan sebagai langkah wajar untuk memperkukuh penguatkuasaan.

MPPN menegaskan bahawa kelemahan kawalan subsidi boleh membuka ruang kepada ketirisan sumber awam, penyalahgunaan oleh pihak tidak layak serta meningkatkan beban fiskal negara yang akhirnya menjejaskan kepentingan pengguna domestik.

Langkah penguatkuasaan baharu ini juga dilihat sebagai usaha strategik untuk memastikan pasaran bekalan petrol kekal adil, telus dan mampan, di samping menutup ruang manipulasi subsidi.

Sebagai badan penasihat pengguna kepada Kerajaan, MPPN akan terus menyokong dasar yang melindungi hak pengguna tempatan, memperkukuh tadbir urus subsidi dan meningkatkan keberkesanan mekanisme penguatkuasaan, serta menggesa kerjasama semua pihak bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *