Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah memanggil pihak akhbar tempatan berbahasa Cina, Kwong Wah Yit Poh susulan penerbitan ilustrasi Jalur Gemilang tidak lengkap di Facebook rasmi media itu.
Dalam satu kenyataan, MCMC memaklumkan siasatan terhadap kes itu dijalankan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) khususnya Seksyen 233 kerana melibatkan kandungan yang dimuat naik secara dalam talian.
“MCMCM memandang serius perkara tersebut dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menjalankan siasatan lanjut terhadap isu berkenaan, sekiranya perlu dan berkaitan,” ujar kenyataan tersebut.
Terdahulu, akhbar tersebut dikecam pelbagai pihak selepas tular paparan muka hadapan edisi petang pada 15 April yang menunjukkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit sebagai simbolik Islam sebagai agama persekutuan.
Situasi itu turut dikaitkan dengan kesilapan akhbar Sin Chew Daily yang juga memaparkan kesilapan serupa.
Sehubungan dengan itu, MCMC memberi amaran tegas kepada semua pihak agar tidak tidak memuat naik atau menyebarkan sebarang kandungan yang bersifat mempersenda atau menampilkan bendera Malaysia yang tidak lengkap.
“Tindakan tegas boleh diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan ini. MCMC komited untuk memastikan penggunaan media digital di Malaysia kekal terbit dan menghormati simbol-simbol kebangsaan,” katanya.