Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di ibu negara pada Mei lalu menutup tirai dengan pemeteraian Deklarasi Kuala Lumpur, ASEAN 2045: Masa Depan Bersama.
Dalam majlis pemeteraian, para pemimpin negara ASEAN telah menandatangani deklarasi tersebut yang akan menjadi panduan serta hala tuju strategik baharu kepada rantau ini dalam tempoh jangka masa panjang. Deklarasi ini juga sekaligus menggantikan dokumen ASEAN 2025: Maju Bersama.
Berdasarkan ketidaktentuan global semasa, deklarasi ini dilihat mampu membentuk landasan kukuh yang mampu melonjakkan ASEAN sebagai kuasa ekonomi dan geopolitik menjelang 2045.
Mengulas hal ini, Ketua Penerangan Himpuan Belia Islam Dunia (WAMY) Malaysia, Nazmi Putra berkata, Malaysia telah mencapai kejayaan besar daripada Sidang Kemuncak ASEAN kali ini sebagai pengerusi.
Beliau berkata, deklarasi yang dimeterai juga menjadi penanda aras dan jangka hayat kepada ASEAN untuk membangunkan rantau ini melalui teras inklusiviti, nilai dan peradaban generasi.
“Ini perlu disahut oleh segenap lapisan kepimpinan negara, belia dan masyarakat untuk memastikan deklarasi ini dapat digerakkan secara menyeluruh dan mengakar seutuh-utuhnya. Tak mudah, ia boleh dilaksanakan,” ujarnya.
Deklarasi berkenaan turut membayangkan potensi ASEAN sebagai pusat pertumbuhan baharu di rantau Indo-Pasifik melalui penegasan ke atas perpaduan silang budaya, identiti bersama, akses yang saksama dan peluang ekonomi kepada penduduk.