October 29, 2025
Malaysia perkukuh kerjasama serantau, antarabangsa bina komuniti digital

Malaysia perkukuh kerjasama serantau, antarabangsa bina komuniti digital

Malaysia akan meningkatkan kerjasama erat dengan negara serantau, sektor swasta dan pihak berkepentingan peringkat antarabangsa dalam usaha untuk membina komuniti digital yang berdaya tahan, berinovasi serta inklusif.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kerjasama serantau untuk melaksanakan transformasi digital ini penting berdasarkan kepada unjuran bahawa ekonomi digital ASEAN kini bernilai USD300 bilion dan dijangka melebihi USD1 tilion menjelang 2030.

Berdasarkan senario di Malaysia, ujarnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai pakej rangsangan seperti program Geran Digital PMKS Madani dan pelaksanaan JENDELA serta 5G untuk memperkasa komuniti dan perniagaan.

“Liputan 5G seluruh negara kini telah mencapai 82.4 peratus di kawasan berpenduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucaptama Sidang Kemuncak Digital Nation Kuala Lumpur (Edisi ASEAN) yang dianjurkan buat julung kalinya bersama GSMA Digital Nation sempena Kepengerusian ASEAN 2025.

Majlis yang berlangsung di The Westin telah menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan merangkumi pemimpin kerajaan, pengawal selia, industri dan rakan serantau hadir bagi membincangkan hala tuju masa depan digital ASEAN.

Dalam ucapan, Teo Nie Ching telah menggariskan tiga teras utama iaitu kepercayaan digital sebagai asas, inovasi sebagai enjin ekonomi digital ASEAN dan kerjasama serantau untuk transformasi digital.

Beliau berkata, Malaysia telah menunjukkan komitmen yang tegas dengan memperkukuh tadbir urus data, keselamatan siber dan undang-undang baharu seperti Akta Keselamatan Siber 2024 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025.

“Di samping itu, kempen advokasi keselamatan internet yang telah menjangkau lebih 150,000 rakyat.

“Sidang kemuncak ini adalah permulaan kepada bab baharu pembinaan negara digital ASEAN (dengan) dipacu kepercayaan, berkembang melalui inovasi dan maju bersama,” kata Teo.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *