Malaysia kini sedang melakukah anjakan paradigma yang signifikan dalam sektor perindustrian negara, beralih daripada sekadar pengeksport komoditi mentah kepada pemain utama dalam rantaian bekalan teknologi hijau global. Fokus utama peralihan ini terarah kepada pembangunan industri pemprosesan unsur nadir bumi (REE), khususnya dalam penghasilan magnet kekal (permanent magnet) berprestasi tinggi.
Perkembangan terkini menyaksikan Malaysia bakal menjadi hab pengeluaran magnet Neodymium-Iron-Boron (NdFeB) di Asia Tenggara, satu komponen kritikal yang memacu revolusi kenderaan elektrik (EV) dan tenaga boleh baharu dunia.
Manifestasi terjelas aspirasi ini adalah melalui kerjasama strategik di antara Lynas Malaysia dan JS Link dari Korea Selatan. Kedua-dua entiti ini telah memeterai perjanjian untuk membangunkan fasiliti pembuatan magnet kekal di Gebeng, Kuantan, dengan nilai pelaburan dianggarkan mencecah RM600 juta.
Loji ini, yang terletak berhampiran fasiliti pemprosesan sedia ada Lynas, disasarkan mempunyai kapasiti pengeluaran sehingga 3,000 tan magnet setahun. Keupayaan ini bukan sahaja memenuhi permintaan domestik, malah memposisikan Malaysia sebagai pembekal alternatif yang strategik dalam pasaran global yang kini didominasi oleh China. Magnet NdFeB adalah komponen “jantung” bagi motor elektrik moden dan turbin angin, menjadikan ia aset geopolitik dan ekonomi yang bernilai tinggi.
Pembangunan ini selaras dengan dasar Kerajaan Persekutuan yang kini menguatkuasakan larangan eksport bahan mentah REE. Langkah proteksionis yang strategik ini bertujuan memaksa pelabur asing membawa teknologi pemprosesan ke dalam negara, sekali gus merangsang aktiviti hiliran (downstream).
Dengan anggaran rizab unsur nadir bumi negara bernilai mencecah RM809 bilion, Malaysia memiliki kelebihan komparatif yang besar. Penglibatan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLic) seperti Khazanah Nasional dalam meneroka kerjasama teknologi—termasuk dengan entiti dari China—menunjukkan komitmen serius negara untuk menguasai keseluruhan rantaian nilai, dari perlombongan lestar hingga ke pembuatan komponen akhir.
Menurut Penyelidik Tenaga Boleh Baharu dari China Saudari Yutong Lu, perkembangan ini mampu mengubah dominasi China dalam pemilikan akses kepada bahan magnet.
“Pada Mei 2025, Lynas Malaysia telah menghasilkan unsur nadir bumi berat pertama untuk tujuan komersial di luar China iaitu disprosium oksida (dysprosium oxide).
Nadir bumi berat ini merupakan aset strategik terkuat China, yang amat penting bagi penghasilan magnet berprestasi tinggi yang digunakan dalam sistem panduan peluru berpandu dan teknologi pertahanan lain,” ujarnya lagi.
Kehadiran loji super magnet ini dijangka mencetuskan kesan limpahan ekonomi (multiplier effect) yang meluas. Dari sudut modal insan, ia mewujudkan permintaan mendesak terhadap tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan kimia, metalurgi, dan pembuatan termaju.
Lebih penting lagi, kewujudan bekalan magnet kekal secara domestik menjadi faktor penarik utama (pull factor) bagi pengeluar automotif global (OEM) untuk menubuhkan hab pemasangan EV di Malaysia. Ketersediaan komponen kritikal secara tempatan mengurangkan risiko rantaian bekalan dan kos logistik, menjadikan Malaysia destinasi pelaburan yang sangat kompetitif di rantau ASEAN.
Transisi Malaysia ke arah penghasilan super magnet bukan sekadar projek infrastruktur semata-mata; ia adalah satu pernyataan strategik ekonomi negara. Dengan menggabungkan kekayaan sumber asli dengan teknologi pembuatan termaju, Malaysia kini berada di landasan tepat untuk menjadi kuasa baharu dalam menyokong agenda kelestarian global.