Kejayaan Malaysia memudah cara gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja membawa makna yang jauh lebih besar daripada penghentian tembak-menembak di sempadan. Ia menandakan pemulihan semula ASEAN centrality iaitu prinsip bahawa Asia Tenggara mesti menjadi penentu utama keamanan dan kestabilan di rantau ini, bukan kuasa luar. Bukan Amerika Syarikat, bukan China tapi kesepakatan pemimpin ASEAN sendiri.
Sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia bertindak pantas saat pertempuran mula mengancam nyawa dan keselamatan serantau. Rundingan yang dikendalikan Kuala Lumpur menunjukkan bahawa ASEAN bukan sekadar forum diplomatik, tetapi mekanisme penyelesaian konflik yang berfungsi apabila dipacu oleh pemimpin yang dihormati, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dari sudut geopolitik, inilah detik penting yang mengembalikan kedudukan ASEAN sebagai pusat imbangan kuasa antara Amerika Syarikat, China dan Rusia. Keupayaan Malaysia menenangkan dua jiran yang lama berselisih tanpa campur tangan kuasa besar membuktikan bahawa rantau ini tidak perlu bergantung pada hegemoni luar untuk mengekalkan keamanan. Malaysia berjaya menampilkan semangat ASEAN Way secara nyata yakni konsultasi, konsensus dan kesederhanaan.
Pada tahap global pula, kejayaan ini memberi mesej bahawa kuasa menengah kini memainkan peranan yang semakin penting dalam diplomasi moden. Seperti mana Good Friday Agreement di Ireland Utara atau Camp David Accords di Timur Tengah, langkah Malaysia membuktikan bahawa penyelesaian damai tidak semestinya digerakkan oleh kuasa tentera besar, tetapi oleh negara yang dihormati kerana kredibiliti moral dan keupayaan membina jambatan kepercayaan.
Dr Rahul Mishra, pakar geopolitik dari dari Universiti Jawaharlal Nehru menyifatkan, Malaysia bukan sahaja membuktikan bahawa ASEAN centrality masih berfungsi dalam praktik, malah secara halus menolak campur tangan kuasa besar dalam penyelesaian konflik serantau.
Akhirnya, kejayaan Malaysia bukan sekadar episod diplomatik sebaliknya simbol kepada kelahiran semula keyakinan terhadap ASEAN sebagai institusi serantau yang relevan, matang dan mampu memimpin tanpa bergantung kepada kuasa luar. Di tengah-tengah dunia yang semakin berpecah, Asia Tenggara menunjukkan iktibar kepada dunia bahawa keamanan masih boleh dibina melalui dialog, kebijaksanaan dan kepimpinan sederhana.