December 16, 2025
MADANI tidak terjejas selepas PRN Sabah

MADANI tidak terjejas selepas PRN Sabah

Keputusan PRN Sabah 2025 meletakkan Kerajaan Madani dalam situasi selamat dalam waspada kerana kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya kekal selamat kerana pemenang utama, Gabungan Rakyat Sabah (GRS), adalah sekutu rapat Kerajaan Perpaduan. Kemenangan GRS memastikan ‘Blok Borneo’ kekal sebagai tiang seri yang menyokong pentadbiran persekutuan sehingga habis penggal, menghapuskan risiko sebarang usaha tebuk atap seperti dahulu.

Namun, realiti politiknya rakyat Sabah telah menghantar isyarat bahawa jenama nasional tidak laku jika gagal memahami sentimen lokal. Ini menjadikan Kerajaan Madani di Putrajaya sebuah kerajaan yang perlu kerjasama erat parti tempatan serta mengubah dinamik hubungan Persekutuan dan wilayah Sabah dengan toleransi yang lebih harmoni.

Walaubagaimanapun penganalisis Felo Kanan, Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura (SIIA), Dr. Oh Ei Sun menyifatkan keputusan pilihanraya dari sudut pandang yang lebih diplomatik.

“Kerajaan pimpinan negeri ini dibentuk dengan restu Persekutuan. Kita akan terus melihat hubungan kerja yang mesra dan harmoni,” ujarnya yang percaya masa depan Kerajaan Madani lebih meyakinkan.

Bagaimanapun Kerajaan Madani berazam untuk melakukan total reset dalam penyampaian khidmat awam, bermula dengan penyelesaian krisis infrastruktur asas. Isu air, elektrik, dan jalan raya di Sabah bukan lagi isu pembangunan, tetapi isu hak asasi yang telah menjadi punca kemarahan rakyat. Persekutuan perlu mengambil pendekatan campur tangan langsung yang membina bukan sekadar menyalurkan dana, tetapi memantau pelaksanaan projek secara lebih rapi seperti yang baru diumumkan, bagi memastikan tiada ketirisan di peringkat pelaksana.

Seterusnya, pemenuhan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) mestilah diselesaikan dengan segera dan tuntas, terutamanya perbincangan mengenai isu tuntutan 40% hasil negeri.

Melalui keputusan ini, rakyat Sabah juga telah memberikan satu hadiah besar kepada naratif kebangsaan Malaysia: Penolakan terhadap politik ekstremisme. Dengan menolak parti-parti yang membawa sentimen perkauman sempit, Sabah (bersama Sarawak) kekal menjadi ‘benteng pertahanan’ kepada kepelbagaian dan kesederhanaan. Ini memberi harapan baru bahawa aspirasi Malaysia yang inklusif masih hidup subur, dan Kerajaan Madani mempunyai rakan strategik di Borneo yang berkongsi nilai yang sama dalam mengekalkan keharmonian kaum.

Sinergi ekonomi antara Semenanjung dan Borneo juga dijangka akan berkembang lebih pesat. Kestabilan politik membolehkan pelabur asing masuk dengan lebih yakin, terutamanya dalam sektor Tenaga Boleh Baharu dan Ekonomi Biru yang sedang diterajui Sabah. Kerajaan Madani boleh memanfaatkan kedudukan Sabah yang strategik ini untuk memacu pertumbuhan ekonomi nasional, menjadikan Borneo sebagai enjin pertumbuhan baharu negara, yang akhirnya akan memberi limpahan kemakmuran kepada semua rakyat Malaysia.

Kesimpulannya, ini satu permulaan baharu yang segar. Ia meletakkan asas yang kukuh untuk fasa pentadbiran Kerajaan Madani yang lebih fokus kepada hasil dan kesejahteraan rakyat. Dengan ketidaktentuan politik dipadam, kerajaan kini mempunyai landasan yang lapang untuk memecut laju, membuktikan bahawa gandingan Semenanjung dan Borneo mampu mengangkat Malaysia kembali sebagai pemain ekonomi serantau yang disegani.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *