Penjawat awam bakal menerima Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM500 bagi Gred 15 ke bawah, manakala pesara dan veteran tidak berpencen akan mendapat RM250. Bayaran bermula 25 Februari 2025, tepat pada waktunya untuk meringankan beban kewangan menjelang Ramadan dan pembukaan sekolah.
Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan kenaikan gaji yang sekian lama dinantikan. Pegawai Kumpulan Pelaksana dan Pengurusan menikmati kenaikan 15%, manakala Kumpulan Pengurusan Tertinggi mendapat pelarasan 7%. Berbeza dengan pentadbiran terdahulu yang lebih bergantung kepada bantuan one-off, kerajaan Madani mengambil langkah lebih mampan dengan pelaksanaan gaji baharu dalam dua fasa, Disember 2024 dan Januari 2026.
Ini bukan sekadar soal wang, tetapi soal keadilan dalam menjaga kebajikan penjawat awam yang menjadi tulang belakang pentadbiran negara. Keputusan menaikkan gaji selepas 13 tahun tertangguh menunjukkan keseriusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan mereka lebih terjamin.
Menurut seorang pesara guru Puan Azizun Harun, pemberian BKK ini bakal memeriahkan sambutan Ramadan beliau dan keluarga.
“Alhamdulillah syukur kepada Allah kerana kerajaan tidak melupakan jasa dan bakti kami selama ini,” ujarnya lagi.
Pada masa yang sama, kerajaan terus menekankan aspek integriti dalam pentadbiran. Dengan prinsip menolak rasuah dan memperkukuhkan tatakelola, ekonomi Malaysia hari ini semakin kukuh, membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada rakyat tanpa menjejaskan kestabilan kewangan negara. Langkah ini membuktikan bahawa kepimpinan yang bersih membawa hasil yang lebih baik untuk semua.
Selain peningkatan pendapatan, kerajaan juga memberi fokus kepada pembangunan modal insan. Pelbagai program latihan dan peningkatan kemahiran diperkenalkan untuk memastikan penjawat awam kekal relevan dan berdaya saing dalam dunia yang semakin mencabar. Ini bukan sekadar soal kenaikan gaji, tetapi juga soal membina perkhidmatan awam yang lebih berkualiti.
Bantuan dan kenaikan gaji ini memberi kelegaan kepada penjawat awam yang selama ini menanggung kos sara hidup yang semakin tinggi. Dengan pendapatan lebih stabil, mereka boleh fokus pada tugas tanpa terbeban dengan tekanan kewangan yang menghimpit.