May 5, 2025
Kunjungan Presiden Turkiye bawa manfaat kepada Malaysia, dunia Islam

Kunjungan Presiden Turkiye bawa manfaat kepada Malaysia, dunia Islam

Hubungan Malaysia-Turkiye terus mengukuh susulan lawatan 2 hari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia bermula 10 Februari lalu.

Dalam ucapan aluan sempena Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye di Putrajaya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan kedudukan Turkiye sebagai satu fenomena baharu.

Hal ini kerana negara itu telah berjaya mencapai kemajuan dan kebangkitan teknologi yang mampu melonjakkannya ke satu peringkat yang lebih tinggi.

Penegasan Anwar terhadap kekuatan Turkiye penting difahami supaya Malaysia dapat menjalinkan hubungan yang lebih akrab dan jelas merangkumi pelbagai bidang kritikal.

Hasil lawatan itu, Malaysia dan Turkiye telah menandatangani 11 Memorandum Persefahaman (MoU) yang disaksikan kedua-dua pemimpin negara.

Bidang utama yang terangkum dalam MoU adalah pertahanan, perdagangan, kerjasama media, pengurusan bencana dan peralihan tenaga.

Peningkatan kedudukan hubungan dua negara ini turut dijelaskan Erdogan melalui syarahan umumnya dengan berkata, Malaysia-Turkiye telah beralih daripada fasa ‘perkongsian strategik’ pada 2014 kepada ‘perkongsian strategik yang komprehensif’ pada 2022.

Erdogan turut berkongsi sasaran untuk meningkatkan perdagangan dua hala Malaysia-Turkiye kepada RM44.68 bilion melibatkan sektor semikonduktor, komoditi pertanian, elektrik dan elektronik (E&E), makanan dan minuman (F&B).

Anwar sempat mencuba teknologi automotif Turkiye apabila memandu sendiri kenderaan elektrik (EV) TOGG buatan Turkiye jenis SUV dengan Erdogan menjadi penumpang di sebelah kanan.

Prof Dr Abdul Rahim Abdul Samad dari Sekolah Perniagaan dan Ekonomi Universiti Putra Malaysia (UPM) percaya kehadiran Presiden Turkiye akan memberi manfaat besar kepada dua negara terlibat serta membantu mempercepat transformasi ekonomi Malaysia di peringkat dunia.

Dalam satu ulasannya kepada Berita Harian, beliau berkata, Malaysia memandang tinggi kedudukan Turkiye apabila menyokong cadangan menjadikan Ankara sebagai Rakan Dialog ASEAN.

“Sokongan Malaysia terhadap cadangan Turkiye sebagai Rakan Dialog ASEAN menunjukkan keterbukaan Malaysia dalam memperluas jaringan diplomatik di peringkat serantau. Keputusan ini menandakan Malaysia menganggap Turkiye sebagai rakan strategik yang penting di peringkat global,” ujarnya.

Lawatan Erdogan ke Malaysia bukan sekadar kunjungan rasmi antara pemimpin negara, sebaliknya, apa yang lebih menarik adalah hubungan akrab beliau dengan Anwar sejak sekian lama.

Keakraban ini diulas oleh Anwar dalam ucapan aluannya sempena Majlis Syarahan Umum Presiden Turkiye. Anwar berkongsi cerita kisah duka yang mana ketika beliau berdepan penindasan pemerintah, Erdogan hadir memberikan solidariti dan sokongan.

“Di waktu saya dibelenggu dengan kesusahan, beliau menghulurkan tangan ketika mana ramai yang berpaling pergi. Sokongannya bukan semata-mata sembarangan (perfunctory), dan bukan juga direka demi kesesuaian politik.

“Tidak, ia adalah ungkapan persaudaraan yang tulen. Saya tidak pernah melupakannya, dan tidak akan sekali-kali melupakannya,”ujarnya.

Sikap Erdogan yang tegas dan teguh terhadap kezaliman inilah yang menjadikan beliau sebagai pejuang Palestin sejati serta berani mengutuk pendudukan haram sekaligus pembunuhan beramai-ramai.

“Ketika negara lain teragak-agak, beliau menunjukkan ketegasan dan apabila reaksi dunia semakin meningkat (terhadap kekejaman Israel), beliau pastikan sokongan terhadap Palestin diterjemah menjadi tindakan yang lebih bermakna,” kata Anwar.

Mengulas perkara ini, pengarah strategi KRA Group, Amir Fareed Rahim berkata, keakraban dua pemimpin dunia Islam ini positif terutama tatkala Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN pada tahun ini.

“Penglibatan Turkiye, sebuah kuasa besar dalam dunia Islam mampu memberi momentum kepada projek membangunkan semula Gaza. Sebenarnya, dunia Islam perlu bekerjasama lebih erat dan konsisten, serta menonjolkan kesatuan dalam membantu menyelesaikan peperangan di Gaza,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *