July 27, 2025
Kunjungan Anwar ke Rusia perkukuh “middle power” Malaysia hadapi dunia multipolar

Kunjungan Anwar ke Rusia perkukuh “middle power” Malaysia hadapi dunia multipolar

Walaupun Perdana Menteri, Anwar Ibrahim telah selesai pulang daripada lawatan kerja ke Rusia, namun perbincangan berhubung hasil lawatan rasmi berkenaan masih diperkatakan kerana impak besar dan positif yang bakal Malaysia nikmati untuk jangka masa panjang.

Lawatan ini boleh dianggap signifikan tatkala Malaysia berdepan ketidaktentuan antarabangsa susulan pelaksanaan tarif seperti diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

Namun seperti ditegaskan Anwar Ibrahim, beliau yakin negara mampu terus berdiri teguh dengan berpaksikan asas ekonomi yang kukuh serta semangat kebersamaan rakyat daripada pelbagai kelompok.

“Kekuatan sesebuah negara bukan hanya terletak pada angka, tetapi pada tatakelola yang baik dan iltizam untuk menoktahkan budaya kebobrokan. Kita tidak mahu Malaysia dikenang kerana rasuah atau perpecahan kaum dan agama,” ujarnya dalam sesi dialog bersama para pelajar Malaysia di Moscow pada 14 Mei lalu.

Menurut Pengarah Dasar Pusat Kajian Ekonomi, Muafakat dan Diplomasi (KEMUDI), Mohammad Hazizi Padzil, lawatan Perdana Menteri ke Rusia kali ini boleh dinilai daripada dua perspektif iaitu diplomasi dua hala dan strategi geopolitik jangka masa panjang.

Dalam hal ini, ujarnya, keupayaan perdana menteri memastikan kunjungan ke Rusia penting untuk memastikan implikasi kepada hubungan antarabangsa Malaysia dengan mempelbagaikan kepentingan strategik negara khususnya ketika pentadbiran Trump ketika ini.

“Salah satunya ialah strategi diversifikasi geopolitik negara, lawatan ini menandakan satu usaha jelas Malaysia untuk ‘kuatkan cabang’ hubungan luarnya dengan negara kuasa besar yang lain dan tidak akan sangat terlalu bergantung kepada kuasa-kuasa Barat seperti Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.

“Mereka (kuasa Barat) kini sedang berhadapan ketidaktentuan dalaman seperti perang tarif dan perubahan dasar luar yang tidak konsisten sejak era Trump,” ujarnya.

Ketika dihubungi madanikini.net baru-baru ini, beliau turut menjelaskan bahawa Malaysia ketika ini semakin bijak menyesuaikan diri dengan pelbagai kuasa penting dunia (multipolar) seperti China, Rusia dan pakatan Global South.

“Peranan ini penting dan seiring dengan aspirasi Malaysia untuk menjadi kuasa pertengahan (middle power) yang bebas dan berkecuali,” katanya.

Secara khusus, beliau berpandangan, lawatan Anwar Ibrahim dan sebilangan menteri ke Rusia kali ini merupakan satu bentuk penyusunan semula negara dalam dunia pasca-pandemik dan unipolar.

“Ini satu usaha yang berani tetapi dengan mengutamakan prinsip, kepentingan ekonomi dan ini adalah satu pendekatan yang lebih strategik berbanding reaktif,” katanya.

Selain daripada pertemuan dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin, kunjungan Anwar kali ini turut menandakan kedudukan Malaysia semakin kukuh melalui kehadiran ke Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik Russia-Islamic World dan KazanForum di Kazan.

Dalam ucapan di KazanForum, Anwar turut memanfaatkan ruang tersebut untuk menyeru umat Islam agar mengukuhkan kedudukan ekonomi bersama agar mampu menjadi suara yang menegakkan keadilan dan keamanan dunia.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *