Ancaman keselamatan siber yang berlaku dalam negara sentiasa membimbangkan dan memerlukan pemantauan sepanjang masa bagi memastikan ekosistem laman sosial yang selamat untuk dilayari pengguna.
Langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menerbitkan Kod Tatalaku (Amalan Terbaik) sebagai panduan kepada penyedia perkhidmatan pesanan internet dan perkhidmatan media sosial dianggap penting kepada ekosistem siber dalam negara.
Dalam satu kenyataan, MCMC menyifatkan penerbitan Kod Tatalaku sebagai sokongan kepada kerangka kelesenan untuk penyedia perkhidmatan pesanan internet dan penyedia perkhidmatan media sosial bagi menggariskan amalan terbaik untuk diterima pakai oleh pihak berkaitan.
Di samping mengutamakan keselamatan dalam talian untuk golongan kanak-kanak dan rentan, Kod Tatalaku juga diyakini mampu menangani cabaran yang sentiasa berkembang dalam persekitaran dalam talian sambil mewujudkan ruang yang lebih selamat dan terjamin kepada semua.
Untuk rekod, sepanjang tahun lalu, sebanyak 289,287 kandungan telah diturunkan merangkumi judi dalam talian (65.5%), penipuan (scam) (22%), kandungan palsu (5.9%) dan kandungan jelik (4.7%).
Bagi peguam, Ahmad Azri Abdullah, pujian perlu diberikan kepada langkah mewujudkan Kod Tatalaku tetapi menggambarkannya sebagai masih bersifat reaktif.
Beliau berkata, penguatkuasaan undang-undang sewajarnya meletakkan keutamaan kepada pendekatan berbentuk pencegahan (preventive) berbanding bertindak selepas mendapat aduan daripada pihak yang terkesan.
Memberi contoh penerbitan kandungan jelik, katanya, pengendali platform gagal mengambil tindakan sewajarnya jika tiada sebarang aduan atau perintah daripada mahkamah supaya ia diturunkan.
Situasi ini pula, tambahnya, akan memakan masa dan banyak prosedur walaupun keburukan kandungan tersebut telah mempengaruhi banyak pihak.
“Proses mahkamah selalunya makan masa dan keduanya tindakan platform aduan SKMM yang begitu lambat memberi maklum balas untuk setiap aduan. Sebaiknya walaupun kod ini ada, kesedaran dan kebertanggungjawaban pengguna itu adalah kunci utama untuk internet yang selamat.
“PDRM (Polis Diraja Malaysia) dan BNM (Bank Negara Malaysia) ada usahakan talian 997 untuk penipuan dalam talian tapi kebanyakan bila laporan masuk sudah terlalu lewat untuk perubahan.
“Sebelum ini mungkin SKMM susah mendapatkan kerjasama daripada penyedia media sosial tetapi dengan perlesenan yang diperkenalkan tahun lepas, ada usaha untuk memudahkan SKMM untuk mendapatkan kerjasama daripada pengendali media sosial sekarang,” katanya kepada madanikini.net.
Ditanya kemungkinan Kod Tatalaku sebagai percubaan pihak berkuasa untuk mengekang kebebasan memberikan pendapat, Azri dari firma guaman Nas Rahman dan Azri Abdullah menolak anggapan demikian.
Katanya, limitasi bersuara tidak berkaitan dalam soal ini kerana jika dirujuk kepada Perlembagaan Persekutuan, ternyata wujud kewajaran agar sebarang bentuk kawalan ke atas kebebasan bersuara dilaksanakan bagi memastikan keharmonian dan kesejahteraan masyarakat terbela.
Beliau menjelaskan, Kod Tatalaku jelas memberikan tumpuan kepada isu-isu perkauman, penipuan, kelucahan melampau, provokasi agama yang dijadikan alasan untuk mana-mana kandungan diturunkan daripada platform dalam talian.
“Walaupun ada politikus yang cuba menggambarkan ini sebagai sekatan, hakikatnya tidak. Kritikan kepada kerajaan bukan kriteria untuk penurunan.
“Apatah lagi dengan perkembangan kecerdasaran buatan (AI), sudah pasti ancaman kandungan berbahaya semakin berevolusi dan penguatkuasa perlukan tindakan yang cepat. Mana-mana perlanggaran kuasa akan boleh disemak oleh Mahkamah seperti mana undang-undang lain,” katanya.