October 29, 2025
Kini rakyat Malaysia boleh nikmati kadar berpatutan, rayauan data lebih lancar di Timor-Leste

Kini rakyat Malaysia boleh nikmati kadar berpatutan, rayauan data lebih lancar di Timor-Leste

Rakyat Malaysia yang berada di Timor-Leste sekarang boleh menikmati perayauan data yang lancar pada kadar berpatutan sama seperti negara-negara anggota ASEAN yang lain.

Dalam satu kenyataan, Kementeri Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memaklumkan kemudahan ini merupakan hasil daripada perkhidmatan perayauan data (data roaming) di Timor-Leste yang diaktifkan oleh pengendali rangkaian mudah alih utama Malaysia (MNO) berkuat kuasa pada 17 Oktober lalu.

Antara MNO yang terlibat adalah CelcomDigi, Maxis, TM dan U Mobile manakala YTL Communications memulakan perkhidmatannya pada 24 Oktober lalu.

“Perkhidmatan perayauan 4G di Timor-Leste merupakan satu pencapaian yang besar berbanding rangkaian infrastruktur 2G dan 3G sebelum ini.

“Perkembangan ini berjaya direalisasikan melalui kerjasama rapat MCMC dengan Autoridade Nacional de
Comunicações (ANC) Timor-Leste, serta sokongan perkongsian perayauan strategik antara pengendali rangkaian mudah alih Malaysia dengan penyedia telekomunikasi utama Timor-Leste — Telkomsel, Telemor dan Timor Telecom,” menurut kenyataan.

Kementerian turut memaklumkan pencapaian ini selaras dengan keutamaan Kepengerusian ASEAN Malaysia 2025 yang menumpukan aspek keterangkuman, kelestarian dan keterhubungan digital.

“Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia kekal komited menyokong sepenuhnya inisiatif untuk mengukuhkan integrasi serantau dan mempromosikan keterhubungan merentas sempadan, selaras dengan tema membentuk masa depan digital bersama kepada semua rakyat ASEAN,” katanya.

Kementerian yakin pencapaian ini mencerminkan komitmen bersama ASEAN dalam memupuk komuniti berfokuskan rakyat di mana teknologi meningkatkan mobiliti, peluang dan perpaduan di seluruh rantau.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia mengalu-alukan penyertaan Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang merupakan detik bersejarah dalam mengukuhkan perpaduan ASEAN dan visi bersama ke arah rantau lebih inklusif dan terhubung secara digital.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *