July 27, 2025
KESUMA mengharum di Geneva

KESUMA mengharum di Geneva

Kalau kita perasan, tahun ini Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) telah laksanakan banyak reformasi untuk memastikan nasib tenaga kerja dalam negara terbela.

Awal tahun ini, seperti dijanjikan, gaji minimum RM1700 telah berjaya dilaksanakan. Kemudian, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak dua peratus juga dibuat yang mana langkah ini bersifat serampang dua mata: baik untuk kerajaan, selamat untuk warga kerja asing.

Segala dasar yang dilaksanakan ini bertujuan untuk memastikan kepatuhan kepada tuntutan Persidangan Buruh Antarabangsa dapat dipenuhi dan membantu menaikkan nama Malaysia dalam kalangan pelabur.

Tahun ini, Malaysia turut terlibat dengan ILO 2025 yang berlangsung di Zurich dan Geneva, Switzerland pada Jun ini.

Program padat yang disusun penganjur merupakan kesempatan kepada delegasi Malaysia untuk memastikan keterlibatan yang efisien dapat dicapai demi meningkatkan lagi kualiti ekosistem tenaga kerja dalam negara.

Secara umumnya terdapat empat acara penting yang mana Malaysia akan terlibat iaitu Mesyuarat Jawatankuasa Umum, Mesyuarat Jawatankuasa Teknikal, Pertemuan Bersama Pakar ILO, Mesyuarat Dua Hala Menteri dengan Rakan Sejawat melibatkan India, China, Qatar dan Nepal.

Antara perkara yang dibangkitkan dalam dua mesyuarat itu adalah termasuklah Bajet 2026–2027 ILO, isu perlindungan biologi di tempat kerja,dan perbincangan tentang platform ekonomi digital. Sudah tentu ini adalah satu topik yang amat relevan kepada buruh gig dan pekerja bebas di Malaysia.

Untuk memastikan Malaysia mempunyai akses dan saranan terbaik melibatkan amalan terbaik dalam perundangan buruh dan tadbir urus tenaga kerja, pertemuan dengan pakar ILO seperti Githa Roelans (Perniagaan Multinasional & RBC), Corrine Vargha (Piawaian Buruh Antarabangsa), dan Kaori Nakamura-Osaka (ILO Asia Pasifik) wajar dimanfaatkan sepenuhnya.

Di samping itu, KESUMA turut menganjur program tersendiri seperti pertemuan dengan International Centre for Migration Policy Development (ICMPD) serta forum Global Skills Forum dan WEF-TalentCorp. Platform ini penting untuk menyediakan ruang diplomasi lunak yang memperkukuh citra Malaysia sebagai negara yang progresif dan mesra pekerja.

Menteri, Sim Tze Tzin juga dijadualkan akan menyampaikan ucapan pada 10 Jun nanti bagi merumuskan dan menjelaskan agenda Malaysia untuk memperkukuh sektor tenaga kerja agar selaras dengan kehendak ILO dan matlamat Malaysia Madani.

Implikasi yang boleh kita harapkan daripada hasil kunjungan ke ILO 2025 ini adalah pelaksanaan dasar yang lebih inklusif terhadap pekerja gig, kerjasama antara negara yang lebih adil, sokongan teknikal dan kepakaran ILO untuk reformasi buruh serta pengukuhan nama Malaysia dalam kalangan pelabur asing.

Perjalanan kerja Menteri ke Geneva bukan hanya mencerminkan kesibukan diplomatik, tetapi sebuah misi penting untuk memperkukuh hak pekerja Malaysia dalam kerangka buruh global. Melalui rangkaian, rundingan dan forum antarabangsa ini, Malaysia tidak sekadar menjadi peserta—tetapi pemegang taruh aktif dalam membentuk masa depan pekerjaan yang adil, selamat dan bermaruah untuk semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *