Sidang Kemuncak ASEAN 2025 yang telah berjaya dilangsungkan bukan sekadar acara rumah terbuka biasa sebaliknya hasil diplomasi rumit yang disusun hampir dua tahun oleh pasukan Malaysia, termasuk jawatankuasa khas yang merangka Visi ASEAN 2045 dan Deklarasi Kuala Lumpur. Di sebalik majlis gilang-gemilang ini, berlangsung rundingan, strategi, dan kompromi yang membuahkan hasil bersejarah.
Kejayaan besar Malaysia kali ini ialah membawa kembali Donald Trump, presiden Amerika Syarikat untuk hadir ke sidang ASEAN. Ia membuktikan kemampuan Malaysia meyakinkan kuasa besar agar terus berinteraksi dengan rantau ini. Lebih penting, hasil sidang turut menyaksikan termeterainya perjanjian damai antara Kemboja dan Thailand — usaha mediasi yang diketuai Malaysia dan ditandatangani Trump serta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Diplomasi Malaysia juga terserlah apabila Brazil dan Afrika Selatan dijemput sebagai Tetamu Pengerusi, langkah yang memperluas jaringan global ASEAN. Kuala Lumpur turut menjadi tuan rumah ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan berjaya mengembalikan semangat asal forum tersebut melalui Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Keamanan dan Kestabilan, kenyataan bersama pertama yang mendapat persetujuan semua anggota selepas tiga tahun.
Menurut Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah, Pengerusi ISIS Malaysia bagaimanapun negara kita menumpukan usaha memperkukuh hubungan ekonomi dalaman agar rantau ini tidak terlalu terdedah kepada kejutan tarif global.
Antara langkah utama termasuk:
• Pindaan Kedua kepada Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) bagi memodenkan peraturan kastam dan penyelesaian pertikaian supaya barangan bergerak lebih cepat dan murah merentas sempadan.
• Naiktaraf Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA 3.0) untuk meluaskan kerjasama dalam sektor digital dan hijau, serta mengekalkan akses pasaran China walaupun tarif AS meningkat.
• Kemajuan rundingan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA) yang menyelaras peraturan e-dagang, data dan pembayaran digital, dijangka ditandatangani pada 2026.
• Sidang RCEP pertama sejak perjanjian itu berkuat kuasa pada 2022, menekankan keperluan melaksanakannya secara menyeluruh menjelang semakan 2027.
Namun, cabaran kekal besar. Perdagangan sesama negara ASEAN hanya masih sekitar 20 peratus daripada jumlah keseluruhan perdagangan, manakala halangan bukan tarif dan perbezaan keupayaan antara negara terus mengekang integrasi ekonomi. Usaha berterusan untuk menangani cabaran ini kini ditangan Filipina selaku pengerusi ASEAN seterusnya.