Kerajaan MADANI disarankan melaksanakan lebih banyak perubahan dalam pengurusan kewangan negara bagi memastikan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan turut dirasai oleh rakyat.
Penganalisis, Dr Ng Rui Wei berkata, masih ramai orang awam yang tidak merasai sebarang perbezaan pada ‘mereka’ walaupun pencapaian ekonomi negara dilaporkan berkembang pesat.
“Apabila kita baca angka ini dan tengok pada akaun bank, mungkin ramai yang berkata belum berasa apa-apa manfaat daripada perkembangan ekonomi negara. Ianya penting untuk huraikan kepada rakyat bahawa tahun 2024 merupakan tahun yang penuh cabaran dan Malaysia dikira nasib baik mampu untuk meneruskan tren pertumbuhan ekonomi,” ujarnya ketika dihubungi madanikini baru-baru ini.
Beliau merupakan pemegang doktor falsafah (PhD) dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan latar belakang pengajian bidang ekonomi, kepimpinan, organisasi dan analisis perusahaan kecil dan sederhana.
Terdahulu, ekonomi negara dilaporkan terus menampilkan prestasi meyakinkan dengan pencapaian Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang mencatatkan pertumbuhan sebanyak 5.1 peratus pada 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ekonomi ini dipacu oleh momentum positif merangkumi semua sektor utama kecuapai pertanian dan perlombangan dan pengkuarian yang mengalami penyusutan.
Prestasi ini melepasi unjuran awal kerajaan iaitu antara 4 hingga 5 peratus sahaja seperti diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Bagi memastikan kemakmuran ekonomi turut dirasai rakyat, Dr Ng Rui Wei berkata, Kerajaan MADANI perlu melaksanakan perubahan segera secara inklusif, holistik dan konsisten bermula dengan sistem subsidi diesel dan RON95 secara bersasar.
Beliau turut mencadangkan agar program bantuan kewangan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) diperluas kepada kumpulan sasaran yang lebih tepat.
Sasaran kerajaan untuk mengurangkan beban kos sara hidup rakyat juga boleh dilakukan dengan meneliti dan mengubasuai kaedah subsidi bersasar ke atas barang keperluan asas seperti minyak masak.
“Contohnya subsidi minyak masak yang kini disalurkan kepada pengilang. Kaedah ini gagal untuk sampai kepada pengguna yang betul-betul memerlukannya. Subsidi minyak masak boleh dihapuskan dan tambah pada bantuan kewangan yang sedia ada,” katanya.
Selain itu beliau berharap agar lebih ramai rakyat menikmati akses kepada rumah mampu milik melalui proses permohonan yang lebih telus dan adil.
Katanya lagi, kerajaan perlu memperbanyak projek perumahan begini di samping turut memberikan insentif seperti potongan cukai atau pinjaman dengan kadar faedah yang rendah kepada pembeli rumah pertama.
Di samping itu, bagi menyokong dasar Kerajaan MADANI kepada peralihan tenaga hijau seperti digariskan dalam Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), beliau mencadangkan agar potongan cukai dilaksanakan kepada pembeli kereta pertama khususnya kenderaan elektrik (EV).
“Ini mampu mengurangkan beban rakyat dan dapat menunjukkan harga jualan kereta telah menurun dan dikhususkan untuk golongan yang tertentu sahaja.
“Pada masa yang sama usaha ini juga dapat membantu meningkatkan pengguna kereta elektrik di kalangan rakyat,” katanya.