December 16, 2025
Isu 40% Hak Sabah: Seperti Menarik Rambut Dalam Tepung

Isu 40% Hak Sabah: Seperti Menarik Rambut Dalam Tepung

Keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang memihak kepada tuntutan 40% hasil Sabah oleh Sabah Law Society (SLS) adalah satu ketetapan yang adil dan berani. Ini dikuatkan lagi dengan keputusan Kerajaan Persekutuan melalui nasihat Peguam Negara untuk tidak merayu keputusan tersebut.

Di atas kertas, tafsiran literal terhadap hak 40% ini menuntut supaya semua hasil persekutuan yang dikutip di Sabah sejak 1974 dikira semula dan dibayar kembali kepada negeri itu. Namun, dari perspektif yang lebih realistik, keadaan 50 tahun lalu hingga kini menunjukkan bahawa walaupun Sabah sering ketinggalan, wilayah itu tidak pernah diabaikan sepenuhnya. Banyak pembangunan tetap dilaksanakan, walaupun tidak serancak yang diharapkan. Faktor sebenar kelewatan ini bukan sekadar soal dana, tetapi turut melibatkan percaturan politik yang panjang dan rumit.

Menurut peguam muda dari Sabah, Muhd Amirul Asyraf, keputusan ini perlu dilihat dari perspektif berbeza yang mampu memberi kesenangan dan ketenangan kepada semua.

“Keputusan Mahkamah Tinggi ini seharusnya menjadi sesuatu keputusan yang prospektif dan progresif di mana secara undang-undang dan politik ianya menjadi “Bargaining chips” bagi Kerajaan Wilayah Sabah dalam menuntut semula hasil itu melalui belanjawan tahunan adalah lebih baik daripada menuntut hasil-hasil lalu yang sukar dikira,” ujarnya lagi.

Dengan keputusan ini, Sabah boleh merundingkan bukan sekadar bayaran tunai, tetapi juga pelaburan pembangunan infrastruktur berskala besar selaras dengan jumlah hasil cukai yang dipungut Persekutuan di Sabah. Pada masa yang sama, Kerajaan Persekutuan tidak boleh melupakan kewajipannya untuk membayar geran khas kepada Sabah dan Sarawak sebagaimana diwajibkan oleh Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan.

Dalam menuju Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17, tidak dapat dinafikan ramai ahli politik akan cuba menunggang isu ini untuk keuntungan politik masing-masing. Hakikatnya, terdapat juga pihak dalam Kerajaan Sabah sendiri sebelum ini yang cuba menggagalkan semakan kehakiman tersebut dengan melantik peguam bagi menentang tuntutan isu ini di mahkamah.

Perlu diingat juga bahawa Pakatan Harapan Sabah pernah memulakan saman berkaitan hak 40%, namun menarik balik tindakan tersebut setelah membentuk Kerajaan Persekutuan dengan alasan rundingan lebih sesuai sedangkan hasilnya masih belum jelas.

Kemenangan mahkamah ini bukan kemenangan parti politik, bukan hasil agenda mana-mana pemimpin, tetapi lahir daripada usaha masyarakat sivil dan tekad rakyat Sabah sendiri dan membuka lembaran baru reformasi pentadbiran yang telus di negeri di bawah bayu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *