Kehadiran Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ke Baku, Azerbaijan bukan sekadar kehadiran simbolik. Lawatan rasmi beliau membawa satu mesej yang membanggakan, Malaysia kini berada dalam kelompok negara dengan kos internet paling murah di dunia.
Angka ini bukan retorik politik malah berpaksikan data pasaran global dan ia menggambarkan satu perubahan dasar yang ketara bahawa akses internet tidak lagi dianggap sebagai barangan mewah, tetapi sebagai kemudahan asas rakyat.
Di hadapan diaspora Malaysia dan delegasi antarabangsa di Baku, Fahmi menegaskan bahawa kos internet yang tinggi tidak boleh dibiarkan menjadi penghalang kepada pendidikan digital, pembangunan ekonomi baharu dan penyertaan rakyat dalam ruang siber. Malaysia memilih laluan dasar yang berbeza untuk menurunkan kos dan bukan menaikkan beban pengguna.
Keupayaan Malaysia menawarkan internet 5G pantas dan murah tidak berlaku tiba-tiba. Ia disokong oleh pembangunan infrastruktur yang agresif. Dalam tempoh singkat, Malaysia kini memiliki rangkaian 5G terpantas di Asia Tenggara dan menduduki kedudukan kedua terpantas di Asia Pasifik, selepas Korea Selatan.
Lebih penting, liputan internet di kawasan berpenduduk negara kini menghampiri 99 peratus. Ini bermaksud akses internet tidak lagi tertumpu kepada kelompok bandar dan golongan berpendapatan tinggi semata-mata. Ia telah menjadi kemudahan nasional yang merentasi pelajar, usahawan kecil, komuniti luar bandar dan golongan berpendapatan rendah.
Pencapaian ini adalah hasil gabungan tiga faktor utama: dasar kawal selia yang lebih tegas, rundingan agresif kerajaan dengan syarikat telekomunikasi, serta pelaksanaan rangkaian 5G yang pantas dan tersusun. Buat pertama kali, industri telekomunikasi bergerak dalam satu kerangka kepentingan awam yang lebih jelas.
Di Baku, kemampuan Malaysia dalam menyediakan internet murah dan pantas telah menarik perhatian negara-negara Afrika yang sedang bergelut dengan kos jalur lebar yang tinggi dan struktur monopoli telekomunikasi. Malaysia tampil bukan sebagai negara kaya yang memonopoli teknologi, tetapi sebagai negara membangun yang membuktikan bahawa internet mampu milik boleh dilaksanakan jika kerajaan berani mengawal pasaran.
Inilah titik penting dalam lawatan Fahmi ke Azerbaijan. Malaysia tidak lagi sekadar pengguna teknologi global, tetapi sedang membina kredibiliti sebagai model dasar digital untuk negara membangun.
Namun, di bawah kepimpinan Fahmi, kerajaan jelas tidak berhenti pada soal harga semata-mata. Dimensi keselamatan digital turut diberi penekanan yang tinggi.
Malaysia kini sedang menguatkuasakan kerangka undang-undang baharu berkaitan keselamatan dalam talian dengan fokus khusus kepada perlindungan kanak-kanak, pembanterasan jenayah seksual digital, pengawalan kandungan berbahaya dan eksploitasi siber. Pada masa yang sama, kempen keselamatan internet telah diperluaskan ke ribuan sekolah di seluruh negara bagi membentuk disiplin digital sejak usia muda.
Pendekatan ini menunjukkan keseimbangan dasar yang jarang dicapai oleh banyak negara: internet mesti murah, tetapi pada masa yang sama mesti selamat.
Di dalam negara, kesan dasar ini semakin jelas. Kos data terus ditekan, kelajuan internet meningkat secara berperingkat, liputan semakin meluas dan rangka keselamatan siber pula semakin diperketat. Semua ini bukan hasil yang berlaku secara automatik. Ia hadir melalui tekanan dasar yang konsisten, keberanian membuat keputusan dan keupayaan mengawal industri yang sebelum ini terlalu bebas menentukan harga pasaran.
Hari ini, Malaysia bukan lagi sekadar pasaran pengguna teknologi. Malaysia sedang membina asas kepada kedaulatan digitalnya sendiri.