April 21, 2025
Hampir sedekad Himpunan355, apa nasib RUU 355 sekarang?

Hampir sedekad Himpunan355, apa nasib RUU 355 sekarang?

Sempena 18 Februari yang pernah diingati sebagai hari penganjuran Himpunan 355 di Padang Merbok pada 2017, ada baiknya kalau kita imbas semula polemik ini.

Apabila Presiden Pas, Abdul Hadi Awang diberikan laluan untuk membacakan usul persendirian mengenai Rang Undang-undang 355 (RUU355) pada 26 Mei 2016, tindakan itu menjadi peluang untuk para pengikutnya menajamkan lagi konflik dan polemik siapa Islam, siapa munafik dan siapa kafir Harbi.

Yang Dipertua Pas Kawasan Padang Serai pada 2016, Shaharuddin Ibrahim, dalam satu video yang tular dan mendapat kecaman ramai, telah mempersoal akidah Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail jika tidak menyokong usul persendirian itu.

Walhal kisahnya, RUU 355 ini tujuannya untuk meminda dan meningkatkan bidang kuasa mahkamah syariah melibatkan bayaran denda, penjara dan sebat. RUU355 bukan undang-undang hudud dan qisas. Inilah yang ramai kalangan Pas tidak faham tetapi berlagak macam alim ulama.

Secara ringkas kronologi isu RUU355 adalah pada 19 Mac 2015, Abdul Hadi telah menyerahkan notis kepada Dewan Rakyat untuk bentang usul persendirian.

Usul itu telah diterima dan tersenarai sebanyak 4 kali iaitu 7 April 2015, 17 Jun 2015, 26 Mei 2016 dan 7 Mac 2017. Tetapi apa kesudahannya?

Pada 26 Mei 2016, Abdul Hadi baca usul tersebut tetapi minta perbahasan ditangguhkan. Pada 24 November 2016 pula, beliau pinda usul tersebut dan perbahasan terpaksa ditangguh.

4 kali bentang, 2 kali tangguh.

Tapi itu belum berakhir apabila Pas anjur pula Himpunan 355 di Padang Merbok pada 18 Februari 2017. Lidah rasmi Pas, Harakahdaily pula sifatkan himpunan ini pembelaan agama seperti peristiwa Natrah di Singapura.

Jika dilihat sekali imbas, nampak macam Pas nak perjuangkan Islam tapi sebenarnya nampak macam main-main. Sekadar nak jadikan alat tunggangan untuk pecah-belahkan umat Islam dan meraih kepentingan politik.

Adakah Pas dapat manfaat? Ya, sebab dalam situasi orang Melayu dan Islam mudah terbuai emosi, sentimen agama dan bangsa memang mudah laris di pasaran politik.

Tetapi apabila Pas menjadi kerajaan selepas menebuk atap sehingga jatuhkan kerajaan Pakatan Harapan 1.0 pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad, adakah RUU355 berjaya direalisasi pindaannya?

Datuk Ahmad Marzuk Shaary cuba berdalih dalam isu ini. Beliau berkata satu langkah sahaja lagi untuk membawa RUU ini ke Parlimen untuk dibentangkan pada November 2022 tetapi terbantut sebab Parlimen dibubarkan.

Bila dipersoal kenapa ambil masa yang lama untuk bentang iaitu hampir 3 tahun selepas Pas jadi sebahagian kerajaan, alasannya, Pas ambil ambil berat penglibatan dan rundingan dengan negeri-negeri.

Jadi, semasa Abdul Hadi bentang dahulu, adakah dia membuat engagement yang sama?

Tiba-tiba boleh pula gunakan alasan bahawa undang-undang Syariah adalah kuasa Raja-raja Melayu dan bidang kuasa negeri untuk terima atau pinda hukuman kesalahan jenayah syariah masing-masing.

Sikap berdolak-dalih Pas ini turut diakui bekas rakan sekutunya dalam Muafakat Nasional, Umno.

Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pernah mendedahkan bahawa Pas sendiri yang minta supaya pembentangan RUU355 tidak dibahas dan diundi.

Baiklah, sekarang apa status RUU355 sekarang di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim?

Dalam ucapan perasmian Konvensyen Memartabatkan Perundangan dan Kehakiman Syariah Malaysia pada 15 Julai lalu, beliau berkata, Majlis Raja-Raja mahu pindaan terhadap RUU itu dibuat dengan teliti dan tidak gopoh-gapah.

Pindaan itu juga mestilah mengambil kira pandangan semua pihak merangkumi mahkamah syariah, mahkamah sivil serta pakar undang-undang antarabangsa.

“Supaya apabila kita perkenalkan ini, ini contoh terbaik pelaksanaan satu dokumen, usaha memartabatkan perundangan Islam dalam konteks begini, kemudian boleh dijadikan panduan, diserasikan di antara kedudukan dan kekuatan Mahkamah Syariah dan Mahkamah Sivil,” katanya.

Itu kata kunci yang penting; tidak gopoh-gapah.

Tetapi kerana kepentingan politik, Pas sendiri menunjukkan sikap kelam-kabut nak jadi ‘terpaling’ Islam sampai tidak pedulikan pandangan orang lain atau tidak kisah kalau agama suci ini dipandang skeptikal orang lain.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *