Isu gangguan awal sistem Next Generation MERS 999 yang tercetus baru-baru ini menjadi antara ujian kritikal terhadap kesiapsiagaan komunikasi kecemasan negara. Namun dalam tempoh singkat, krisis ini juga memperlihatkan bagaimana kepimpinan di Kementerian Komunikasi bertindak pantas, telus dan berasaskan data.
Sistem NG MERS 999 diperkenalkan bagi menggantikan sistem MERS 999 lama yang telah berusia lebih 17 tahun. Ia direka untuk menyokong operasi kecemasan pelbagai agensi termasuk polis, bomba, ambulans dan APM dengan penggunaan data masa nyata, integrasi aplikasi, serta pemetaan lokasi automatik. Sistem ini mula digunakan sepenuhnya pada 16 November 2025.
CEO Kumpulan TM pula menjelaskan yang sistem baharu ini mampu mendepani cabaran teknologi masa depan.
“Inklusiviti menjadi teras kepada NG MERS 999. Aplikasi SaveME 999 yang dipertingkatkan serta Responder App meletakkan teknologi kritikal secara langsung di tangan pengguna dan pasukan penyelamat, sekali gus membolehkan tindak balas kecemasan yang lebih pantas dan lebih optimum,” ujar Amar Huzaimi Md Deris, CEO Kumpulan TM.
Bagaimanapun, sejurus selepas pelaksanaan, beberapa laporan awam mencatatkan kesukaran menghubungi talian 999, termasuk dakwaan kelewatan ambulans di Pulau Pinang. Isu ini segera tular dan mencetuskan keresahan awam kerana ia melibatkan soal nyawa.
Dalam tempoh yang sangat singkat, Fahmi Fadzil, selaku Menteri Komunikasi, tampil memberikan penjelasan rasmi. Antara fakta penting yang didedahkan ialah berlaku lonjakan luar biasa jumlah panggilan harian — daripada sekitar 50,000 kepada hampir 70,000 panggilan sehari sebaik sahaja sistem baharu ini diaktifkan.
Lebih kritikal, hanya sekitar 5 peratus daripada panggilan tersebut adalah kes kecemasan tulen. Selebihnya terdiri daripada panggilan senyap, salah dail dan prank call. Keadaan ini menyebabkan tekanan besar kepada pelayan sistem dan kapasiti pusat panggilan pada peringkat awal.
Fahmi tidak berlindung di sebalik kenyataan umum. Sebaliknya, beliau mengarahkan tindakan teknikal segera dilaksanakan. Telekom Malaysia menambah kapasiti pelayan, mengoptimumkan konfigurasi rangkaian, serta menambah kakitangan pusat panggilan dalam masa yang singkat. Dalam tempoh beberapa hari sahaja, prestasi sistem kembali stabil.
Pada masa sama, Fahmi turut menjelaskan bahawa aplikasi SaveME999 bukan menggantikan talian suara 999, sebaliknya hanya saluran tambahan. Talian suara tetap kekal sebagai medium utama, khusus untuk situasi kritikal yang memerlukan respons segera.
Isu kos juga dijelaskan Fahmi bahawa angka besar yang diperkatakan melibatkan pengurusan pusat data, keselamatan siber, rangkaian nasional dan operasi pelbagai agensi bukan semata-mata pembangunan aplikasi mudah alih. Ketelusan ini penting bagi mengelakkan manipulasi persepsi awam.
Lebih penting, satu jawatankuasa khas bersama Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan ditubuhkan bagi memantau keberkesanan sistem ini secara berterusan. Ini bukan sekadar reaksi sementara, tetapi pemulihan struktur kepada sistem yang melibatkan keselamatan nyawa rakyat.
Ini bukan soal siapa silap semata-mata. Ini soal siapa yang bertanggungjawab ketika sistem diuji. Dan dalam episod NG MERS 999 ini, kepantasan tindakan Fahmi Fadzil menjadi faktor penstabil kepada satu sistem yang menyentuh nyawa rakyat secara langsung.