Masa kita tengah seronok bercuti sempena Tahun Baharu Cina pada minggu lalu, jangan lupa ada satu benda besar sedang berlaku dalam negara.
Benda besar itu dijangka akan memberi kesan kepada 4.37 juta pekerja apabila gaji minimum mereka akan naik daripada RM1,500 kepada RM1,7000 sebulan.
Kenaikan ini susulan pelaksanaan Perintah Gaji Minimum Baharu bermula 1 Februari lalu.
Ramai senyum lebar. Habis cuti, masuk kerja, gaji pula naik.
Tapi nanti dulu. Apa yang kita kena faham adalah pelaksanaan ini hanya berlaku bagi syarikat yang mana majikannya gajikan lima atau lebih pekerja dalam aktiviti profesional.
Kalau syarikat itu kurang daripada lima orang pekerja, kerajaan menetapkan bahawa tarikh kuat kuasa akan berlangsung pada 1 Ogos nanti.
Lanjutan tempoh ini untuk memberi masa kepada majikan menyelaras dan menyesuaikan tangga gaji dengan operasi syarikat mereka.
Apa yang kita kena faham, pelaksanaan ini tidak berlaku secara sepihak sahaja kerana terdapat jawatankuasa yang mengendalikan urusan ini yang dikenali sebagai Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN). Dalam MPGN, anggotanya terdiri daripada pihak kerajaan, wakil pekerja dan wakil majikan.
Pelaksanaan ini pula ekoran pengumuman Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober tahun lalu dengan tema ‘Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat’.
Apatah lagi dengan prestasi ekonomi negara dijangkakan berkembang pada kadar 6 peratus pada tahun ini, maka penting untuk kerajaan memastikan poket pekerja juga ‘melebar’.
Duit yang dibelanjakan akan merangsang perniagaan dan memberikan kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.
Kenaikan gaji ini sudah tentu akan memberikan kesan langsung kepada pekerja apabila mereka lebih bersemangat untuk bekerja sekaligus meningkatkan produktiviti syarikat.
Bila sebut bab naik gaji, memanglah pekerja seronok tetapi bagaimana pula dengan majikan?
Tanpa menafikan bahawa pelaksanaan ini memberi cabaran kepada majikan terutamanya sektor mikro, kecil dan sederhana (PKSM). Hal ini demikian kerana ia akan melibatkan peningkatan kos operasi yang tinggi tetapi di sinilah peranan pelbagai kementerian untuk bekerjasama bagi memastikan situasi ‘menang-menang’ dapat dicapai.
Apatah lagi, Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) di bawah kepimpinan Steven Sim Chee Keong memberi jaminan isu gaji minimum tidak akan terhenti begitu sahaja.
Sebaliknya, beliau menyatakan komitmen bahawa sesi libat urus melibatkan pelbagai pihak termasuk pekerja dan majikan akan terus dibuat untuk menambah baik dasar berkenaan.
Antara cadangan yang diterima termasuklah untuk melaksanakan kadar gaji minimum berdasarkan geografi dan lanskap ekonomi lokaliti tersebut.