July 27, 2025
Fasiliti sukan percuma rintis bina perpaduan masyarakat

Fasiliti sukan percuma rintis bina perpaduan masyarakat

Setiap tahun, semua sekolah di Malaysia perlu menganjurkan hari sukan. Penganjuran ini bukan sahaja untuk memenuhi keperluan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk memastikan pembangunan pelajar sempurna dan seimbang merangkumi fizikal, emosi dan mental, malah inilah peluang untuk pelajar menunjukkan bakatnya dalam sukan.

Namun begitu, satu dilema yang mungkin tidak dikongsikan secara meluas terutama sekolah yang tiada kemudahan padang berumput adalah lokasi penganjuran hari sukan.

Pihak sekolah perlu mengambil giliran jika mahu menganjurkan hari sukan di tempat lain. Giliran pula perlu diselaraskan dengan cadangan hari sukan. Jika kedua-duanya tidak selaras, mungkin penganjuran terpaksa ditunda atau berpindah lokasi. Lokasi yang sesuai pula bermaksud semua acara dirancang boleh dilaksanakan dan kemudahan parkir atau pengangkutan awam senang diakses.

Itu baru satu perkara. Belum dikira lagi tentang orang ramai yang ingin beriadah tetapi tiada kemudahan yang sesuai atau selamat kepada semua.

Bayangkan jika perkara ini berlaku ketika di sekeliling kita terdapat fasiliti riadah seperti stadium yang hanya beroperasi apabila terdapat penganjuran program seperti ekspo, konsert dan sebagainya.

Tentulah ini satu bentuk pembaziran aset. Walhal jika dimanfaatkan, orang ramai boleh menggunakannya untuk mencapai gaya hidup yang sihat dan bahagia.

Mujurlah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di bawah kepimpinan Hannah Yeoh menyedari kelompangan ini. Susulan daripada kesungguhan untuk merakyatkan kemudahan sukan, hasilnya, Hannah telah membuka tawaran kepada pelbagai pihak untuk menggunakan kemudahan stadium secara percuma terutamanya pelajar sekolah.

Sejak Oktober 2023, KBS dengan kerjasama Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) telah merintis inisiatif merakyatkan sukan ini dengan membuka kebenaran kepada semua sekolah untuk menggunakan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) tetapi tertakluk kepada kekosongan jadual tempahan.

Sebelum ini, penggunaan kemudahan SNBJ dibuat secara sewaan mengikut tempoh dan jenis sekolah. Untuk separuh hari, sekolah kerajaan adalah RM3000 manakala sekolah swasta pula RM4000. Untuk sepenuh hari pula, kadar sewaan adalag RM5000 dan RM8000. Manfaat inisiatif ini nanti akan dinikmati lebih 13,000 pelajar sekolah melalui penganjuran hari sukan.

Sebenarnya bukan hanya SNBJ sahaja yang ditawarkan secara percuma. KBS melalui PSM turut menawarkan secara percuma Kompleks Sukan Jalan Duta dan Kompleks Sukan Bukit Kiara kepada pihak sekolah.

Sekurang-kurangnya dapatlah pelajar sekolah merasai pengalaman berhari sukan dengan infrastruktur bertaraf antarabangsa.

Adakah tawaran ini hanya melibatkan tiga stadium ini sahaja?

Sepatutnya tidak kerana Hannah turut menggalakkan pentadbiran stadium dan pihak berkuasa tempatan supaya mengambil inisiatif yang serupa di kawasan masing-masing agar penduduk setempat berpeluang melakukan aktiviti riadah bersama keluarga di fasiliti yang berkualiti dan terjamin.

Inisiatif ini turut mencerminkan kewibawaan Hannah sebagai pemimpin muda kepada Malaysia yang majmuk serta progresif. Beliau berupaya mengubah idea ‘sukan cerminan perpaduan masyarakat’ menjadi realiti.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *