April 21, 2025
“Ekonomi ASEAN tak ‘hilang taring’, jadi tumpuan kuasa besar,” penganalisis tempatan bidas pandangan pesimis pihak Barat

“Ekonomi ASEAN tak ‘hilang taring’, jadi tumpuan kuasa besar,” penganalisis tempatan bidas pandangan pesimis pihak Barat

Pandangan yang meremehkan daya tahan ekonomi ASEAN dan mengabaikan peranan penting Malaysia untuk membentuk semula rantaian bekalan dunia dibidas dua penganalisis.

Dalam artikel bersama berjudul “ASEAN’s Economic Future: Not a Decline, But a Strategic Realignment Led by Malaysia”, Phar Kim Beng dan CW Sim berkata, apa yang berlaku di ASEAN ketika ini adalah penyusunan semula strategi hala tuju ekonomi.

“ASEAN bukan pemerhati pasif dalam peralihan ekonomi dunia. Sebagai pengerusi ASEAN 2025, Malaysia mempunyai peluang unik untuk meletakkan semula kepimpinan ekonomi serantau dan dunia,” ujar mereka.

Phar Kim Beng merupakan profesor Pengajian ASEAN Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) manakala CW Sim pula adalah perunding bebas.

Pandangan ini diketengahkan bagi menjawab sikap pesimis penganalisis Barat seperti Henny Sender terhadap potensi ekonomi ASEAN. Sikap ini berdasarkan dominasi pengeluaran China, pelarasan rantaian bekalan dunia dan kadar faedah tinggi Amerika Syarikat yang dilihat menggugat daya saing ASEAN.

Mengulas hal ini, mereka berpendapat rantaian bekalan ASEAN sedang mengalami peningkatan dengan kemasukan syarikat gergasi seperti Apple, Samsung, BYD, CATL dan Foxconn di rantau ini.

Apa yang penting, kemasukan pelabur-pelabur ini adalah berdasarkan strategi “China+1” yang meletakkan ASEAN sebagai pemenang utama.

“Pada 2023 sahaja, ASEAN telah menarik lebih $159 bilion pelaburan langsung asing (FDI) dan meninggalkan pesaing seperti India, Amerika Latin dan Afrika,” kata mereka.

Pembahagian tenaga kerja ASEAN mengikut negara adalah Thailand (pembuatan automotif), Vietnam (hab pemasangan elektronik penting), Indonesia (rantaian bekalan bateri dan nikel) dan Malaysia (industri semikonduktor dan pembuatan teknologi tinggi).

China juga, kata mereka, merupakan kuasa besar yang semakin bergantung pasaran dengan ASEAN. Contohnya, pada 2024, pelaburan China ke ASEAN meningkat lebih 30% khususnya dalam pengeluaran kenderaan elektrik (EV), teknologi bateri dan kewangan digital.

“Syarikat seperti BYD dan NIO membina hab pengeluaran di ASEAN. Ini mengesahkan status rantau ini sebagai destinasi pengeluaran dunia baharu,” ujar mereka.

Di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, terdapat tiga tunjang strategi utama yang akan memacu kebangkitan ekonomi secara kolektif iaitu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), Tabung Pelaburan Tenaga ASEAN-GCC dan Pakatan Rantaian Bekalan Semikonduktor ASEAN.

Mereka berkata, tanggungjawab Anwar sebagai Pengerusi ASEAN sekarang bukan tentang kepentingan negara semata-mata tetapi bagaimana beliau mampu memimpin menuju pilihan raya umum akan datang.

Berkaitan:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *