Dron semakin dilihat bukan sahaja sebagai alat logistik biasa, tetapi juga sebagai pelopor inovasi dalam bidang penjagaan kesihatan. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) telah mengumumkan projek rintis penghantaran ubat menggunakan dron bagi kawasan pedalaman dan sukar diakses di Sabah. Projek ini memfokuskan penghantaran ubat daripada klinik kesihatan ke pusat-pusat NADI di kawasan terpencil, termasuk pulau dan kampung tanpa infrastruktur jalan yang baik.
Inisiatif ini juga menjadi sebahagian daripada transformasi digital sektor kesihatan Malaysia yang menggabungkan 5G, kecerdasan buatan dan IoT agar perkhidmatan ke luar bandar lebih inklusif.
Pengalaman negara luar telah menunjukkan bahawa penghantaran menggunakan dron dalam bidang kesihatan boleh memberi impak besar. Contohnya, syarikat Zipline International telah menggunakan dron untuk menghantar darah, vaksin dan ubat ke hospital-hospital dan pusat kesihatan di negara seperti Rwanda dan Ghana yang dilaporkan telah berjaya mengurangkan masa penghantaran dan kadar pembaziran tabung darah.
Di Malaysia MCMC merancang agar fasa pertama projek akan dilaksanakan di dua pusat NADI pada suku keempat 2025, dan kemudian dikembangkan kepada 150 pusat NADI pada 2026 dan berkembang ke 392 pusat pada 2027.
Menurut Saudara Khairun Syazwan penganalisis Pusat KEMUDI, kaedah penghantaran ubat melalui udara mampu memberi kelegaan kepada penduduk dipedalaman serta mengaburkan batas akses perubatan di pusat bandar dan di ceruk kampung.
Menurut beliau lagi, masih terdapat beberapa cabaran teknikal, logistik dan kawal selia yang perlu dihadapi. Antaranya ialah memastikan keselamatan dan kebolehpercayaan sistem dron termasuk kepakaran pengendalian dron, pematuhan undang-undang tempatan, vandalisme serta pengendalian ubat serta sampel darah.
Kerajaan melalui MCMC juga wajar menilai untuk menambahbaik perkhidmatan untuk rakyat dengan peningkatan akses kepada teknologi agar rakyat terutamanya di Sabah dan Sarawak turut merasai nikmat sebagai rakyat Malaysia. Ini juga mampu meletakkan negara sebagai perintis serta titik rujuk kepada perlaksanaan teknologi manusiawi diperingkat serantau.
Penggunaan dron untuk penghantaran ubat oleh MCMC dan rakan kerjasama mewakili satu langkah maju dalam teknologi penjagaan kesihatan Malaysia, terutamanya bagi memperkasa akses di kawasan “last-mile”. Dengan memanfaatkan pengalaman global dan mengatasi cabaran teknikal serta regulasi, projek ini mempunyai potensi untuk merevolusikan logistik kesihatan. Namun kejayaan sebenar akan bergantung kepada pelaksanaan rapi, penerimaan masyarakat dan kesinambungan sistem yang dibangunkan.