April 21, 2025
Dari koloni ke rakan strategik, British – Malaysia beralih ke babak baharu

Dari koloni ke rakan strategik, British – Malaysia beralih ke babak baharu

Membaca Refleksi dari London tulisan Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah sempena lawatan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim ke kota itu baru-baru ini memberi gambaran yang lebih segar dalam memahami hubungan pahit manis antara dua negara ini. 

British tidak pernah dianggap sahabat atau musuh mutlak sejak bersua kali pertama secara rasmi pada 1786 setelah Francis Light menandatangani perjanjian dengan Sultan Kedah. Bermula dari saat itu hinggalah selepas Perang Dunia Kedua; British, Malaya, Sabah dan Sarawak saling terhubung kait sehingga ke hari ini. 

Lawatan kerja baru-baru ini memberi nafas baharu buat kedua-dua buah negara umpama orang mengantuk disorongkan bantal. Malaysia berwajah baharu dengan Kerajaan Perpaduan sementara UK pula baru selesai pilihan raya dengan mandat besar setelah beberapa tahun bergelut dengan ketidaktentuan politik dan kembalinya Parti Buruh setelah 15 tahun dihiliran. 

Fokus Baharu UK terhadap Asia-Pasifik

UK kini sedang pulih dari Brexit dan mahu kembali aktif dalam memainkan peranan di pentas diplomasi antarabangsa. Dalam kesempatan ini, negara ini pastinya berusaha untuk memperkukuh kehadirannya di Asia-Pasifik melalui strategi Indo-Pacific Tilt dan penyertaannya dalam perjanjian CPTPP. Kehadiran UK sebagai Rakan Dialog ASEAN ke-11 juga mencerminkan tanggapan nilai strategik negara itu terhadap rantau Asia Tenggara.

Walaupun kini berdepan cabaran dalaman seperti kelembapan ekonomi dan infrastruktur awam yang uzur, namun pelabur asing tetap optimis terhadap prospek jangka panjang UK, malah membuka peluang bagi Malaysia untuk memperkukuh hubungan perdagangan dan pelaburan sedia ada.

Cabaran Geopolitik dan Legasi Strategik

Dari segi keselamatan pula, Malaysia dan UK terikat melalui Five Power Defence Arrangements. Namun, perbezaan pandangan strategik wujud, terutama kepimpinan UK sering dilihat terlalu bergantung pada keputusan Amerika Syarikat.

Dalam konteks ketegangan AS-China di termasuk di Laut China Selatan, Malaysia mengutamakan pendekatan yang inklusif dan terbuka. Ini mungkin kerumitan yang UK perlu ukur semula dengan kehadiran tokoh seperti Trump yang bakal mengangkat sumpah pada 20 Januari 2025. 

Peluang Ekonomi dan Inovasi

Kerjasama ekonomi antara Malaysia dan UK berpotensi dipacu melalui sinergi strategi perindustrian masing-masing – New Industrial Master Plan 2030 oleh Malaysia dan Invest 2035 dari UK. Kedua-dua negara mengutamakan bidang pembuatan maju, tenaga boleh diperbaharui, dan teknologi digital selain penerokaan teknologi kecerdasan buatan (AI).

Perkongsian usaha dan kerjasama oleh National AI Office dari Malaysia dan AI Opportunities Action Plan dari UK mampu mempercepatkan inovasi, menangani risiko AI secara kolektif serta menjadikan penerokaan teknologi ni lebih jimat dan cekap.

Permulaan babak baharu

Perdana Menteri UK Keir Stramer pastinya sedar untuk mengimbangi politik dalam negara dan asing sangat melelahkan. Lantaran itu, ketibaan PM  Anwar Ibrahim sewajarnya disambut mesra sebagai pemimpin yang bukan sahaja berkongsi sejarah yang panjang malah mempunyai matlamat yang hampir sama. Di sebalik cabaran yang ada, terhampar juga peluang untuk diterokasi bersama untuk kepentingan rakyat kedua-dua buah negara

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *