December 14, 2025
Dari ASEAN ke APEC, MADANI serlah dasar luar damai Malaysia

Dari ASEAN ke APEC, MADANI serlah dasar luar damai Malaysia

Kejayaan Malaysia menganjurkan ASEAN 2025 dan kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Sidang Kemuncak APEC di Korea Selatan menandakan kebangkitan diplomasi aktif Kuala Lumpur.

Apa yang perlu difahami, ini bukan sekadar ritual serantau mengikut giliran negara atau protokol rasmi. Sebaliknya ini adalah manifestasi strategi luar negara yang lebih proaktif dan berwibawa. Selaku hos Sidang Kemuncak ASEAN kali ke-47, Malaysia berjaya menarik perhatian dunia kepada isu-isu ekonomi, keselamatan makanan dan kestabilan rantau, sambil mengekalkan peranan ‘pemudahcara’ dalam percaturan kuasa besar.

Satu hal yang menarik perhatian adalah pendekatan Anwar yang memilih pendekatan diplomasi gaya “omni-directional” iaitu bergerak daripada pendekatan bertahan kepada pendekatan yang mengaktifkan perbincangan antara blok. Merapatkan jurang antara Washington dan Beijing serta memanfaatkan wadah ASEAN untuk mendorong rundingan yang konstruktif.

Dalam ucapan dan tindakannya, Anwar menekankan nilai inklusiviti, diplomasi ekonomi dan penyelesaian konflik melalui dialog: pendekatan yang mendapat pujian rakan sejawatnya di APEC dan semasa lawatan rasmi di Korea Selatan.

Dari segi hasil nyata, penganjuran besar ini meningkatkan “soft power” Malaysia. Perjumpaan-perjumpaan peringkat tinggi membuka ruang bagi rundingan perdagangan, minat pelaburan dan penandatanganan kerjasama ekonomi yang boleh menarik pelaburan langsung asing (FDI) serta memperkukuh rangkaian perniagaan serantau.

Sebagai tuan rumah, Kuala Lumpur juga menonjolkan kemampuan tata kelola acara berskala besar yang mana ini merupakan mesej penting kepada pelabur bahawa negara mampu untuk menjadi hab komersial dan diplomatik di Asia Tenggara.

Pakar antarabangsa memberi penilaian yang seimbang. ISEAS menyifatkan pendekatan Anwar sebagai gabungan idealisme dan pragmatisme yang membolehkan Malaysia memainkan peranan penghubung dalam krisis serantau manakala analisis lain menekankan kebolehan beliau menukar “entanglement” geopolitik kepada peluang ekonomi.
Ini berbeza daripada pendekatan yang lebih berhati-hati atau orientasi domestik yang sering mengurangkan impak luar negara di era sebelumnya.

Namun, wajar juga untuk dijelaskan bahawa kejayaan ini tidak terletak atas pengaruh peribadi pemimpin semata-mata untuk menjamin perubahan struktural. Kejayaan diplomasi penganjuran dan kehadiran APEC mesti diikuti oleh pelaksanaan polisi domestik seperti reformasi ekonomi, ketelusan tadbir urus, dan pelaksanaan perjanjian perdagangan. Langkah ini semua penting agar peluang yang muncul benar-benar memberi faedah mampan kepada rakyat.

Tanpa pengukuhan institusi domestik, manfaat hubungan antarabangsa boleh jadi jangka pendek.

Kesimpulannya, keberadaan Anwar dalam dua penganjuran besar ini berbeza daripada pendahulunya kerana gabungan keaktifan diplomatik, naratif inklusif dan tumpuan kepada diplomasi ekonomi.

Malaysia kini dilihat bukan sekadar hos mesyuarat tetapi sebagai penghubung strategik yang mampu menggerakkan agenda serantau. Cabarannya kini ialah menukar momentum diplomatik ini menjadi dasar dan pelaburan yang memberi impak ekonomi dan keselamatan kepada negara dalam jangka panjang. Ketika ini barulah pengaruh antarabangsa ini betul-betul bermakna di dalam negeri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *