Program BUDI95 menandakan satu perubahan fundamental dalam dasar subsidi bahan api di Malaysia iaitu daripada pendekatan subsidi menyeluruh kepada model bantuan bersasar. Melalui inisiatif ini, setiap rakyat Malaysia yang mempunyai lesen kenderaan layak menikmati RON95 pada kadar harga RM1.99 setiap liter dengan had bulanan 300 liter.
Sejak diperkenalkan pada 30 September lalu, langkah ini membawa beberapa kelebihan utama. Pertama, ia memperbetul ketidaksamarataan dalam subsidi bahan api yang mana lebih banyak memberi manfaat kepada pengguna berpendapatan tinggi dan syarikat besar berbanding golongan isi rumah berpendapatan rendah.
Dengan menumpukan subsidi hanya kepada warganegara dan menetapkan syarat lesen memandu, MyKad dan kuota bulanan, program ini berjaya memaksimumkan keberkesanan dari segi peruntukan.
Kedua, data rasmi menunjukkan bahawa had 300 liter sebulan adalah mencukupi untuk penggunaan rakyat Malaysia. Menurut kenyataan Kementerian Kewangan, boleh dikatakan 95 peratus rakyat menggunakan kurang daripada 180 liter sebulan.
Ini memberi ruang fiskal untuk kerajaan menyimpan atau mengalihkan dana subsidi kepada bantuan sosial lain atau pelaburan yang lebih produktif.
Pelaksanaan BUDI95 juga menunjukkan tahap pengurusan yang semakin matang. Sistem semakan kelayakan dan kuota telah dibangunkan bersama portal dan aplikasi. Pengguna boleh menyemak kelayakan secara dalam talian dan data transaksi awal menunjukkan bahawa aduan adalah sangat minimum. Laporan media menyebut hanya 34 aduan sahaja diterima sejurus pelaksanaan.
Fakta ini mencerminkan bahawa pendekatan teknikal dan operasional program berfungsi dengan baik pada peringkat awal.
Dari sudut ekonomi makro, rasionalisasi subsidi melalui BUDI95 dijangka menjimatkan anggaran antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun. Tetapi masih tertakluk dan bergantung kepada harga minyak global dan penggunaan sebenar. Kelebihan inilah yang boleh digunakan bagi memperkuat bantuan rakyat atau pembangunan nasional.
Dari segi kestabilan fiskal, inisiatif seperti ini memberi isyarat positif kepada pelabur mengenai keupayaan kerajaan untuk menguruskan beban subsidi yang sering membebankan bajet negara.
Walau bagaimanapun, program ini masih ada cabarannya. Salah satu isu yang dihadapi ialah risiko penyalahgunaan. Contohnya syarikat yang mengarahkan pekerja mereka menggunakan kuota individu untuk mengisi bahan api kenderaan syarikat. Tetapi perkara ini telah dapat dikesan dan amaran rasmi telah dikeluarkan.
Selain itu, meskipun aduan rendah, aspek logistik dan teknologi masih memerlukan pemantauan — seperti pembekalan terminal sistem pembaca MyKad di stesen minyak, jaringan internet di kawasan luar bandar dan sokongan bagi golongan kurang celik teknologi.
Aspek komunikasi awam juga agak penting bagi memastikan program ini tidak disabotaj. Rata-rata menganggap program ini telah disambut baik oleh pengguna. Badan bukan kerajaan (NGO) menganggap penurunan harga kepada RM1.99 sebagai “bantuan praktikal bagi isi rumah mengurus kos sara hidup”.
Namun kejayaan jangka panjang bergantung kepada kemampanan dan kredibiliti dasar tersebut. Sekiranya had kuota terlampau longgar atau data kelayakan gagal dikemas kini dan dipantau, risiko kebocoran atau penyalahgunaan akan meningkat.
Dari perspektif struktur dasar, BUDI95 boleh dijadikan model untuk rasionalisasi subsidi lain seperti untuk elektrik, air atau minyak masak. Penstrukturan subsidi yang bersasar membolehkan kerajaan menyasar golongan yang benar-benar memerlukan, mengurangkan pembaziran dan meningkatkan kecekapan perbelanjaan awam.
Namun, untuk menyokong transformasi ini, apa yang diperlukan adalah asas data yang kukuh, mekanisme semakan dan audit yang berterusan serta proses komunikasi yang meyakinkan rakyat bahawa perubahan ini bukan semata-mata penyasaran subsidi tetapi penjanaan peluang untuk pembangunan yang lebih luas.
Kesimpulannya, BUDI95 telah menunjukkan kejayaan awal yang menggalakkan merangkumiperalihan sistem, kadar aduan rendah, penggunaan kuota yang terkawal dan keupayaan menjimatkan perbelanjaan subsidi.
Dengan landasan ini, penting bagi kerajaan untuk mengekalkan momentum, mengukuh mekanisme pelaksanaan dan sentiasa menilai semula had-had serta insentif untuk memastikan subsidi bersasar yang adil, mampan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang inklusif.