Belanjawan MADANI 2026 menampilkan gabungan dua objektif yang mungkin kelihatan bercanggah iaitu menyokong perlindungan sosial jangka pendek sambil melabur untuk daya saing jangka panjang.
Kerajaan menampilkan belanjawan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM419.2 bilion yang mmerangkumi komitmen untuk memperluas bantuan sosial, memacu TVET dan digitalisasi serta menyalurkan pembangunan infrastruktur strategik untuk negeri dan kawasan luar bandar.
Ini memberi isyarat jelas bahawa MADANI meletakkan kesejahteraan rakyat dan peluang pekerjaan sebagai teras dasar fiskal.
Dua mekanisme utama yang menjanjikan impak adalah peningkatan peruntukan untuk TVET, latihan kecerdasan buatan (AI), digitalisasi dan program “Sejahtera/MADANI” yang mensasarkan komuniti luar bandar.
Ini usaha yang berpotensi mengurangkan pengangguran struktural dengan melengkapkan tenaga kerja untuk sektor berteknologi.
Selain itu rangka bantuan sasaran serta pengurangan beban kos sara hidup untuk golongan B40 dan M40 yang mengekalkan permintaan domestik sambil memberi ruang bagi pemulihan produktiviti.
Kedua-dua langkah ini, jika dilaksanakan dengan tata urus yang cekap, boleh mengurangkan jurang kemahiran dan menyokong penciptaan pekerjaan berkualiti.
Dalam pada itu pakar ekonomi turut memberi amaran agar keseimbangan antara bantuan sosial dan pelaburan produktif tidak diabaikan. Dr Apurva Sanghi, ketua ekonomi Bank Dunia untuk Malaysia, mengingatkan bahawa pertumbuhan Malaysia “bergantung kepada permintaan domestik yang disokong oleh kenaikan upah, pemindahan kerajaan dan dasar monetari yang akomodatif”. Maksudnya belanjawan mesti mengekalkan sokongan kepada isi rumah tanpa menjejaskan insentif untuk pelaburan swasta. Jika tidak, pengukuhan jangka pendek boleh menjejaskan keupayaan negara untuk mencapai pertumbuhan yang mampan.
Dari sudut pelaburan dan kewangan, Belanjawan MADANI cuba menarik pelaburang langsung asing (FDI) melalui tumpuan kepada sektor berteknologi (semikonduktor, tenaga bersih) dan infrastruktur digital (SALAM submarine cable, solar MADANI).
Analisis firma perunding menegaskan bahawa di samping tujuan ini betul, ia memerlukan penambahbaikan terhadap prosedur pelaburan, perlindungan hak aset dan kestabilan dasar jangka panjang untuk meyakinkan pelabur besar. Firma audit dunia, PwC menekankan bahawa belanjawan tahun ini menumpu pada “reformasi jangka panjang dan menangani cabaran jangka pendek”. Namun begitu keberkesanan bergantung pada pelaksanaan dan penglibatan rakan industri.
Selain itu, walaupun kerajaan mensasarkan defisit lebih rendah dalam tempoh sederhana, sumber pendapatan berisiko seperti dividen Petronas yang dijangka menurun serta ketidaktentuan luaran yang mana antaranya adalah tarif dan permintaan global boleh menekan ruang fiskal.
Reuters melaporkan kemungkinan peningkatan subsidi dan bantuan sosial sebagai jawapan kepada kos sara hidup: langkah yang diperlukan tetapi mesti disasarkan untuk mengelakkan beban fiskal berterusan.
Kesimpulannya, Belanjawan MADANI 2026 membawa pendekatan berlapis iaitu memberi pampasan segera kepada golongan terjejas sambil menabur pelaburan strategik untuk pekerjaan masa hadapan.
Kejayaan nyata bergantung pada tiga perkara pula iaitu ketepatan sasaran bantuan sosial, keberkesanan program latihan/TVET dalam menambat kemahiran baharu dan kebolehcapaian mesej keyakinan kepada pelabur melalui reformasi struktur.
Jika MADANI mampu menyelaraskan ketiga-tiga elemen ini iaitu menyokong isi rumah hari ini tanpa mengorbankan produktiviti masa depan, belanjawan tahun ini mempunyai peluang untuk mengubah momentum ekonomi Malaysia kepada pertumbuhan yang lebih inklusif dan mampan.