April 20, 2025
Aplikasi dating bahaya, lubuk buaya cari mangsa

Aplikasi dating bahaya, lubuk buaya cari mangsa

Jika dahulu jodoh lebih mudah ditentukan oleh ibu bapa tetapi kini, anak-anak lebih cenderung untuk mencari sendiri pasangan hidup.

Ditambah pula dengan kemajuan teknologi masa kini, tren sudah berubah daripada mencari pasangan hidup kepada sekadar ‘suka-suka’. Gejala ini tidak hanya melibatkan sebelah pihak sahaja. Lelaki dan perempuan; sama sahaja.

Dengan telefon pintar di tangan, pelbagai aplikasi dating semakin bertambah hari demi hari. Mencari pasangan ‘suka-suka’ bukan sahaja semudah ABC tetapi cukup sekadar ‘swipe’ kanan dan kiri.

Kalau beberapa tahun sebelum ini, pasangan dicari melalui Facebook, Twitter atau Instagram, tetapi kini, muncul lebih banyak aplikasi yang mungkin kita jarang dengar tetapi popular dan boleh dimuat turun antaranya OkCupid, Bumble, Tinder, Badoo, Boo dan sebagainya.

Teknologi komunikasi yang pesat tidak datang dengan kebaikan semata-mata. Di sebaliknya, turut muncul keburukan yang perlu dibasmi dan ditangani agar perkara yang buruk tidak merebak dalam kalangan masyarakat.

Ditambah pula dengan lemahnya pemantauan dan sekatan terutama kepada pengguna di bawah umur, golongan ini mudah dimanipulasi untuk tujuan jenayah seks.

Facebook Polis Diraja Malaysia pada 4 Februari lalu turut menyiarkan statistik pada tahun 2024 yang menunjukkan terdapat 633 kes yang membabitkan aplikasi media sosial.

Pengerusi Komuniti Literasi Pulau Pinang, Hazizi Padzil menegaskan, sikap individu ketika menggunakan media sosial dan aplikasi janji temu perlu dititik-beratkan pada setiap masa untuk mengelakkan bencana yang bakal menimpa.

Beliau yang aktif dalam program kemasyarakatan turut menggariskan lima tips sebelum membuat janji temu melalui aplikasi iaitu pertama, pastikan identiti individu yang ingin ditemui itu jelas dari segi profil dan gambar yang digunakan.

“Jika gambar kelihatan terlalu sempurna atau maklumat dalam profil tidak lengkap, ini mungkin petanda seseorang sedang menyembunyikan sesuatu dan elakkan individu yang enggan membuat panggilan video sebelum pertemuan,” ujarnya ketika dihubungi madanikini.

Seterusnya, beliau mengingatkan agar jangan mudah terbuai dengan kata-kata manis dan puitis yang diberikan sehingga menganggap diri terlalu istimewa di mata individu berkenaan.

Dalam sesetengah kes yang ditemui, beliau berkata, terdapat kaedah pemangsa yang cuba menggoda mangsa dengan bercakap perkara yang serius seperti perkahwinan dan hubungan jangka masa panjang walaupun baru dikenali tidak sampai beberapa hari.

Selain itu, katanya lagi, pemangsa juga suka mengelak soalan peribadi yang ditanya tetapi sering bertanya tentang diri mangsa seperti tempat kerja, tempat tinggal dan sebagainya.

“Jika seseorang mengelak untuk berkongsi maklumat diri, tetapi terlalu ingin tahu tentang kehidupan kita, ini adalah tanda bahaya. Ada yang menggunakan maklumat ini untuk memanipulasi atau menipu kita di masa hadapan,” katanya lagi.

Satu lagi sikap yang mudah dikenalpasti adalah rayuan untuk meminjam wang atas faktor kecemasan seperti keluarga di kampung dalam kesusahan, kenderaan rosak, kemalangan jalan raya dan sebagainya.

“Scammer (penipu) memang suka guna cerita sedih seperti ada masalah perniagaan atau ahli keluarga sakit semata-mata untuk meraih simpati. Jadi, elakkan daripada melanjutkan perbincangan dalam soal ini untuk elak ditipu,” katanya.

Apa yang paling membimbangkan, ujar Hazizi, apabila pertemuan diatur telah berubah lokasi seperti dari tempat yang umum ke kawasan yang sunyi dan terpencil.

“Ini red flag. Biasanya pemangsa akan beritahu saat-saat akhir perubahan lokasi kerana ada kecemasan atau memilih untuk bertemu di rumah mereka. Ini bahaya dan pastikan ahli keluarga atau kenalan maklum tentang perkara ini,” katanya.

Beliau percaya, aplikasi temu jodoh juga bukan jalan terbaik untuk mencari pasangan hidup yang membahagiakan.

Tanpa menafikan ada yang berjaya mendirikan rumah tangga tetapi realiti yang berlaku adalah hidup mereka dieksploitasi untuk membuat pinjaman, penjamin dan sebagainya.

Sehubungan itu, beliau memberikan alternatif yang lebih selamat dan terbaik untuk mencari jodoh iaitu menyertai aktiviti komuniti seperti program gotong-royong, senaman, kesukarelawanan.

“Sebaik-baiknya, kalau ada kenduri atau majlis yang melibatkan ahli keluarga dan sanak-saudara, sertailah supaya boleh berkenalan dengan lebih ramai orang yang masing-masing dikenali latar belakang keluarganya.

“Apa yang penting, dalam soal jodoh, pastikan setiap individu yang kita berhubungan itu turut dikenali atau diketahui oleh ahli keluarga supaya memudahkan urusan jika berlaku sesuatu yang tidak diingini,” katanya.


Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *