April 20, 2025
Amzad tarik kenyataan fitnah terhadap PMX

Amzad tarik kenyataan fitnah terhadap PMX

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, telah mencapai penyelesaian luar mahkamah dalam kes saman fitnah yang difailkan oleh Anwar terhadap Ahmad Amzad. 

Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada Rabu, 5 Mac 2025. Dalam prosiding tersebut, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik tuntutan masing-masing tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes berkenaan. 

Menurut kenyataan bersama yang dibacakan di mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian peribadi tersebut bagi memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar dan penting untuk negara. Ahmad Amzad menarik balik kenyataannya yang dibuat pada 7 Disember 2022, manakala Anwar menarik balik saman tersebut tanpa sebarang kos. 

Anwar diwakili peguam Datuk Sankara Narayanan Nair, Narendran Letchiemanan dan Wong Guo Jin dari firma guaman S N Nair & Partners, manakala Ahmad Amzad diwakili peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu. 

Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim dan kakitangan mahkamah serta berharap keputusan ini dihormati semua pihak demi kesejahteraan negara. 

Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Ahmad Amzad pada 22 Disember 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *