Selepas MCA Johor yang mempertikai usaha Kerajaan Madani untuk membantu pembangunan semula di Gaza. Terkini, Tan Sri Rafidah Aziz pula bercakap isu yang sama.
Bekas menteri itu menyarankan kepada kerajaan supaya mengutamakan masalah dalam negara terlebih dahulu, sebelum membantu pihak luar.
Antara perkara yang perlu diutamakan, menurut Rafidah, adalah sekolah luar bandar yang menyedihkan, kekurangan hospital dan rumah ibadah.
Selain daripada itu, isu-isu seperti penduduk yang berada di bawah paras kemiskinan juga perlu diberikan perhatian.
Tanpa menafikan situasi semasa yang masih wujud di Malaysia, Rafidah sewajarnya bersikap jujur dan prihatin bahawa kerajaan telah membelanjakan sejumlah besar peruntukan untuk memastikan isu-isu yang dibangkitkan segera diberikan tindakan sewajarnya.
Bagaimanapun, pensyarah Sains Politik dan Dasar Awam, Tuan Akmal Hisham menyatakan, isu Gaza adalah isu kemanusiaan yang perlu diambil serius oleh kita semua kerana konflik ini telah berlangsung lebih satu abad. Setiap negara yang berdaulat dan menjunjung hak asasi kemanusiaan perlu memberi perhatian kepada pembinaan semula di Gaza.
“Dari aspek sejarah pula, Malaysia mempunyai hubungan baik dua hala dengan Palestin, termasuk Gaza sejak awal pembentukan negara ini lagi. Malah kita juga bekerjasama dengan negara-negara lain seperti Turki, Jepun dan pertubuhan antarabangsa seperti PBB dalam membangunkan semula Gaza” ujarnya lagi.
Malaysia pada suatu ketika dahulu amat vokal dalam isu antarabangsa seperti dasar apartheid, isu hak asasi manusia, Gerakan Negara-negara Berkecuali (NAM) dan banyak lagi. Kini apabila Dato Seri Anwar Ibrahim menjadi PM ke 10, Malaysia berpotensi menjadi suara kemanusiaan sejagat dan disegani oleh kuasa-kuasa luar. Ini akan menjadikan negara kita Malaysia lebih dihormati dan menaikkan imej kita di mata dunia.
Di Palestin atau lebih khusus di Gaza pula, sejak 7 Oktober 2023, sebanyak 564 atau 85% buah sekolah telah dimusnahkan oleh rejim zionis Israel.
Laporan daripada agensi PBB, UNRWA yang membantu menguruskan pelarian Palestin mengatakan 70% sekolah tidak dapat beroperasi untuk melaksanakan sesi pendidikan.
Tiada bangunan, komputer, guru, buku, alat tulis bahkan bangunan untuk kanak-kanak Palestin boleh belajar dengan selesa. Dalam keadaan ini, apakah maknanya gencatan senjata yang dicapai jika akses kepada pendidikan terabai?
Masalah yang sama turut berlaku dalam sektor kesihatan apabila 27 daripada 36 kemudahan perubatan di Gaza telah lumpuh sebahagian besar dan sepenuhnya.
Petugas dalam sektor itu juga ramai yang terkorban sehingga tahun lepas manakala 330 orang pula ditahan tentera rejim Israel. Salah seorangnya adalah Dr Hussan Abu Safiya yang terkenal kerana terus memberikan rawatan kepada mangsa kekejaman Israel. Badan dunia seperti Amnesty International mendesak beliau dibebaskan dan tiada laporan terkini mengenainya.
Rafidah tidak sewajarnya bersikap sinis dengan sikap tegas dan lantang Malaysia untuk memperjuang hak dan nasib Palestin. Menyindir bahawa bantuan itu ada kaitan dengan kepentingan politik menunjukkan sikap ‘makcik T20’ yang selalu memandang rendah sikap baik yang cuba dipupuk.
Benar, masih terlalu banyak infrastruktur awam yang perlu diberikan perhatian. Tetapi mengambil sikap untuk selesaikan masalah dalam rumah sebelum bantu jiran sebelah rumah bukanlah sikap prihatin yang munasabah.
Apatah lagi bantuan pembangunan yang ditawarkan oleh Malaysia bukanlah secara bersendirian tetapi melalui kerjasama dengan negara maju seperti Jepun.
Kerjasama manusiawi beginilah yang akan membentuk ikatan negara yang lebih mampan untuk kedua-dua negara membina kemakmuran dan keharmonian bersama.
Kerjasama yang dibentuk melalui Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Persidangan mengenai Kerjasama antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) di bawah teraju Jepun membuktikan sikap Malaysia bukanlah ‘syok sendiri’.
Malaysia juga berpengalaman dan mempunyai pelbagai NGO yang boleh memudahkan bantuan dibawa ke Palestin seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) bersama Cinta Gaza Malaysia dan MyAqsa Defender.
Kita percaya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin di seluruh dunia, beliau akan meyakinkan pemimpin negara lain untuk turut terlibat aktif dengan menyumbang lebih banyak bantuan kepada Palestin.